London: Pengurus Hull City, Steve Bruce meminta aksi sengaja menjatuhkan badan diharamkan selepas Gary Cahill terlepas hukuman selepas simulasi ketika kemenangan 2-0 pendahulu Liga Perdana, Chelsea di Stamford Bridge.

Pengadil Chris Foy melayangkan kad kuning kepada dua pemain Chelsea, Willian dan Diego Costa kerana sengaja menjatuhkan badan ketika perlawanan kelmarin, namun tidak mengendahkan dakwaan Hull bahawa Cahill melakukan perkara sama pada minit ke-53, selepas sebelumnya dikenakan kad kuning kerana mengasari Sone Aluko.

Ketika itu Chelsea mendahului menerusi gol awal Eden Hazard dan mereka menambah gol kedua pada minit ke-68 menerusi Costa selepas pemain Hull, Tom Huddlestone dibuang padang kerana mengasari Filipe Luis pada minit ke-60.

“Saya ditanya sama ada Cahill patut dibuang padang dan jawapan mudah ‘Ya’. Terutamanya apabila pengadil sudah melayangkan kad kuning kepada dua pemain kerana simulasi atau merebahkan badan dengan sengaja,” jelas Bruce.

“Terjahan terhadap Aluko mungkin patut dikenakan kad merah. Ia terlalu kasar dan berbahaya. Anda mengharapkan pengadil melakukan tugasnya.

“Tapi apabila hadir di tempat sebegini, anda perlu lakukan keputusan tepat. Lihat saja pada ulang tayang nyata ia tidak tepat. Dia (Cahill) berasa (David) Meyer akan mencabarnya, cuba mencari sepakan penalti.

“Di negara Latin, ia dialu-alukan. Tapi orang ramai berminat dengan Liga Perdana kerana kejujuran dan integriti. Kami perlu sekat simulasi daripada terus berlaku. Ia bukannya satu keputusan sukar.

“Mungkin kami tidak begitu bagus untuk meraih sesuatu, tapi bermain menentang Chelsea dengan 10 pemain lebih mudah berbanding menentang 11. Kami masih bersaing hinggalah Huddlestone dibuang padang,” ujar Bruce.

Pengurus Chelsea Jose Mourinho mempertahankan Cahill sekalipun beliau turut mengecam pengadil dan mempersoal kad kuning Willian selain merujuk persembahan Foy ketika Chelsea kalah kepada Aston Villa musim lalu.

“Saya tidak percaya Cahill sengaja menjatuhkan badannya,” kata pengendali dari Portugal itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 1:00 AM