NICOL (depan) akan menentang Nouran di separuh akhir.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Datuk Nicol David menyambut ulang tahun kelahiran ke-33 dengan meraih kemenangan bergaya ke atas pilihan keenam, Camille Sernie pada aksi suku akhir semalam.

Kemenangan 11-8, 13-11, 7-11,11-2 ke atas lawannya dari Perancis itu menyaksikan Nicol semakin hampir untuk memburu kejuaraan buat kali ke-11 berturut-turut apabila bakal turun pada aksi separuh akhir, hari ini.

Tidak seperti ketika bergelut dalam pertarungan lima set untuk menewaskan Tesni Evans (Wales) di pusingan pertama dan Joell King (New Zealand) pada pusingan kedua, Nicol memerlukan 49 minit untuk menewaskan Camille.

Ratu skuasy negara itu pernah mengecewakan Camille pada aksi final Terbuka Hong Kong 2012 menerusi pertarungan lima set.

Pada aksi separuh akhir hari ini, Nicol bakal bertemu pilihan kelima dari Mesir Nouran Gohar.

Nouran mencipta kejutan apabila menewaskan pilihan kedua kejohanan Laura Massaro dari England 11-8, 11-9, 8-11, 8-11, 14-12 dalam tempoh 80 minit.

Nicol, juara dunia lapan kali pastinya tidak mahu tewas di tangan Nouran yang baru saja memenangi Kejohanan Remaja Dunia di Poland.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 5:11 AM