PENGUNJUNG merakamkan gambar di Singapore Flyer ketika keadaan berjerebu di Singapura semalam. - Reuters
AP

Jakarta: Kerajaan Indonesia mengisytiharkan darurat di enam wilayah di Sumatera dan Borneo semalam selepas kebakaran hutan yang tidak terkawal kembali mencetuskan jerebu di Asia Tenggara.

Asap dari kebakaran hutan di Sumatera menyebabkan jerebu di Singapura dan selatan Malaysia dengan menyebabkan tahap kualiti udara menurun.

Jumlah titik panas yang menandakan kebakaran hutan yang dikesan satelit meningkat sejak bulan lalu tetapi masih rendah berbanding tahun lalu yang mencetuskan krisis jerebu serantau.

Indeks kualiti udara di Singapura berada di paras 157 pada lewat tengah hari semalam selepas mencecah paras 215.

Bacaan 100 ke atas adalah paras tidak sihat dan atas 200 berada di kategori sangat tidak sihat.

“Bau asap menyebabkan saya terbangun daripada tidur kerana menyangka ada kebakaran di luar rumah,” kata seorang penulis iklan di Singapura, Lim Jia Ying.

Ujarnya, keadaan jerebu yang teruk menyebabkan dia keluar rumah dengan memakai penutup muka.

Sementara itu, Badan Pengurusan Bencana Kebangsaan Indonesia berkata, enam wilayah yang mempunyai jumlah keseluruhan penduduk seramai 23 juta di Borneo dan Sumatera diisytiharkan darurat.

Katanya, perintah darurat membolehkan pasukan pemadam api menggunakan semua sumber termasuk melalui udara untuk memadamkan kebakaran hutan.

Jerebu adalah masalah tahunan yang sering melanda Asia Tenggara tetapi tahun lalu merekodkan jerebu terburuk sejak 1997.

Kebanyakan kebakaran hutan berpunca daripada aktiviti pembersihan tanah untuk aktiviti pertanian ketika musim kemarau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 5:06 AM