Sydney: Perdana Menteri Australia Tony Abbott semalam berkata beliau akan bersemuka dengan Presiden Russia Vladimir Putin pada persidangan G20 bulan ini berhubung kematian rakyat negara itu dalam tragedi MH17 di Ukraine.

Australia menjadi tuan rumah persidangan itu di Brisbane dan selama ini persoalan timbul sama ada Putin akan menyertainya.

Menteri Kewangan Australia Joe Hockey kelmarin mengesahkan pemimpin Russia itu akan menghadiri persidangan berkenaan walaupun banyak berdepan kritikan mengenai tindakan Moscow di Ukraine sejak beberapa bulan lalu.

Abbott menyelar Russia sejak kejadian Julai lalu itu yang mengakibatkan kematian semua 298 anak kapal dan penumpang berkenaan, termasuk 38 penduduk atau warga Australia.

"Sudah pasti saya akan bersemuka dengannya. Saya akan berkata kepadanya, orang Australia dibunuh pemberontak yang disokong Russia menggunakan senjata yang dibekalkan kepada mereka. Kami amat tidak berpuas hati dengan kejadian itu.

"Kami memahami anda mungkin tidak inginkan perkara itu berlaku, namun kini kami mendesak supaya anda bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan yang dijalankan .

"Dan, jika siasatan berkenaan mengenal pasti suspek yang mungkin boleh dipengaruhi anda, sewajarnya anda perlu memastikan mereka diserahkan kepada pihak yang berkenaan demi keadilan," katanya Perdana Menteri Australia itu.

Kiev dan negara Barat menuduh pemberontak pemisah yang mendapat sokongan Moscow menembak pesawat itu menggunakan peluru berpandu BUK dibekalkan Russia.

Tuduhan itu dinafikan Moscow yang sebaliknya menuding jari kepada Ukraine sebagai pihak yang bertanggungjawab.

Australia pada awalnya enggan membenarkan Russia menyertai persidangan itu, namun negara anggota lain menyokong kehadiran Putin untuk membincangkan ketegangan geopolitik ekoran kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:04 AM