Hong Kong: Huru-hara tercetus di Hong Kong semalam selepas puluhan lelaki bertopeng menggempur sekatan didirikan penunjuk perasaan prodemokrasi mengakibatkan pertempuran berlaku, beberapa jam selepas polis mengalihkan sekatan berkenaan.

Beberapa kumpulan lelaki kebanyakkannya menggunakan topeng pembedahan mengerumuni barisan hadapan perhimpunan prodemokrasi berhampiran daerah kewangan utama Hong Kong.

Kumpulan yang menyokong pentadbiran China turut berhimpun di kawasan sama, mendesak protes itu dihentikan.

Penunjuk perasaan yang turut diserang kumpulan kongsi gelap di lokasi protes lain turut menjerit 'Senjata! Senjata!' dan 'Tangkap samseng kongsi gelap!'

Rakaman televisyen menunjukkan lelaki bertopeng dipaksa melepaskan pisau dipegangnya sementara kren dibawa masuk untuk mengalihkan sekatan didirikan.

Pada masa sama, pemandu teksi turut berhimpun dengan kenderaan masing-masing mendesak sekatan dialihkan.

Sekumpulan orang yang menentang tunjuk perasaan itu turut menyuarakan kemarahan mereka.

Terdahulu, pihak polis mengalihkan beberapa penghadang dalam operasi waktu subuh bagi membolehkan kenderaan melalui kawasan itu untuk kali pertama sejak protes dimulakan.

Pemimpin Hong Kong Leung Chun-ying memberitahu pemberita di Guangzhou bahawa dia mahu protes berkenaan ditamatkan.-AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:04 AM