POLIS mengiringi pelajar perempuan yang terperangkap di dalam kampus. - AFP
AFP

Kabul: Serangan di Universiti Afghanistan Amerika di Kabul, kelmarin berakhir selepas 10 jam dengan sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh, namun belum ada kumpulan mengaku bertanggungjawab.

Letupan dan tembakan menyelubungi kampus universiti itu lewat Rabu (waktu tempatan) hanya dua minggu selepas dua profesor institusi itu - masing-masing warga Amerika serta Australia - diculik berhampiran premis berkenaan.

Belum ada kumpulan mengaku bertanggungjawab, tetapi Taliban disyaki susulan peningkatan serangannya sepanjang musim panas.

Bagaimanapun, jurucakapnya Zabihullan Mujahid cuma berkata Taliban ‘sedang menyiasat.’

Jurucakap kementerian dalam negeri Sediq Sediqqi berkata: “Tujuh pelajar, seorang pengawal keselamatan universiti dan seorang pengawal sekolah vokasional berhampiran maut.”

Sekurang-kurangnya 45 cedera termasuk yang kritikal, katanya.

Tidak jelas berapa penyerang terbabit, tetapi polis Kabul berkata sekurang-kurangnya dua ditembak mati.

Sementara itu, ratusan pelajar yang terperangkap di dalam kampus berjaya diselamatkan. Ramai antara mereka merayu bantuan di Twitter dan ada yang menggunakan perabot di dalam kelas untuk menghalang pintu.

Serangan bermula sekitar maghrib, tempoh yang selalunya melihat universiti swasta itu dipenuhi pelajar yang kebanyakannya golongan profesional menyertai kursus separuh masa.

Seorang pelajar yang sempat dihubungi AFP ketika melarikan diri berkata: “Saya mendengar letupan dan tembakan. Kelas kami dipenuhi asap serta debu.”

Ramai yang cedera dibawa ke ambulans yang menunggu di luar kampus menggunakan pengusung dengan diiringi bunyi letupan serta tembakan.

Pihak berkuasa enggan mengesahkan sama ada tebusan diambil.

Sementara itu, pegawai Amerika Syarikat berkata, penasihat tentera NATO membantu pasukan keselamatan Afghanistan membalas serangan itu.

Sebaik serangan dipatahkan, beberapa pelajar wanita diiring dari kampus oleh polis pada waktu subuh.

Kejadian itu serangan militan besar-besaran pertama terhadap universiti terkemuka di Afghanistan.

Presiden Ashraf Ghani mengecam serangan itu sebagai tindakan pihak yang mahu menghalang perkembangan dan pengukuhan nilai murni penduduk Afghanistan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 5:16 AM