Najib bersama Rosmah dan Rohani ketika merasmikan MamaCare selepas berucap pada Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016 di PICC. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Kerajaan bersetuju untuk meminda Akta Membaharui Undang-undang Perkahwinan dan Penceraian 1976 (Akta 164) berdasarkan tiga prinsip utama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pindaan itu bagi menyelesaikan sebarang isu pertikaian sekiranya seorang daripada suami atau isteri memeluk agama Islam.

Katanya, pindaan terhadap akta ini akan dibentang pada sidang Parlimen akan datang melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Prinsip pertama adalah sebarang isu berbangkit berkenaan perceraian bagi perkahwinan yang didaftarkan secara sivil perlul diselesaikan di Mahkamah Sivil terlebih dahulu bagi memastikan tuntutan seperti hak jagaan dan nafkah anak-anak hingga ke peringkat pendidikan tertinggi terpelihara dan terjamin.

"Kedua, berpaksikan kepada prinsip keadilan sejagat, pindaan akta ini akan memberi peluang kepada kedua-dua pasangan untuk menyelesaikan isu perkahwinan sivil di mahkamah sivil dan seterusnya membolehkan mereka meneruskan kehidupan masing-masing seperti untuk berkahwin lain bagi pasangan bukan Islam," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016 di sini, hari ini.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Karim.

Najib berkata, prinsip ketiga adalah percanggahan yang berlaku antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah berbangkit daripada pemelukan agama Islam oleh salah seorang pasangan dapat diselesaikan dan kelompangan perundangan serta pertindihan peruntukan undang-undang sedia ada dapat diselesaikan.

Selain itu, Najib turut mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bagi mengawal selia langkah yang boleh diambil untukmenangani kezaliman dan jenayah terhadap kanak-kanak.

Katanya, pasukan itu akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan program perkhidmatan penjagaan wanita selepas bersalin, iaitu Program MamaCare.

Sejak mula diperkenalkan pada 2013 hingga kini, terdapat 551 pengamal MamaCare di seluruh negara.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 7:45 PM