OMBAK besar akibat Taufan Vongfong membadai tebing konkrit di pelabuhan berhampiran Kawaminami di Miyazaki, semalam.

Tokyo: Taufan Vongfong membadai kepulauan utama Jepun semalam menyebabkan sekurang-kurangnya seorang hilang dan puluhan lain cedera selain mengakibatkan 550 penerbangan tertangguh.

Agensi kaji cuaca Jepun melaporkan, taufan itu membawa angin selaju 180 kilometer sejam selepas mendarat di Makurazaki di Pulau Kyushu.

Taufan ke-19 musim ini melepasi rangkaian kepulauan Okinawa hujung minggu lalu berada di Kochi pada jam 5 petang waktu tempatan dan masih membawa hujan lebat serta angin kencang.

Ia dijangka menuju ke barat daya Jepun dengan lekajuan pada kadar 30 kilometer sejam, dan mendarat di kawasan Kanto - yang turut termasuk Tokyo - selewat-lewatnya hari ini.

Ketua meteorologi agensi terbabit Hiroshi Sasaki turut mengeluarkan amaran banjir di ibu kota Jepun.

"Semua pihak perlu dalam keadaan berjaga-jaga kerana angin bertiup kencang selain ombak besar dijangka akibat taufan ini malah mampu memberi kesan di lokasi jauh dari pusatnya.

"Tolong elakkan berada berhampiran kawasan berbahaya seperti pantai atau sungai. Pastikan anda sentiasa dalam keadaan selamat," katanya.

Rakaman televisyen menunjukkan atap dan dinding rumah di Makurazaki berterbangan selain ombak besar membadai pantai.

NHK melaporkan sekurang-kurangnya 68 cedera akibat taufan itu, termasuk 23 di Okinawa,

Pihak berkuasa tempatan turut menasihatkan 820,000 penduduk di seluruh negara berpindah.

Sementara itu, jurucakap polis tempatan berkata, di Shizuoka, tiga warga China dihanyutkan ombak besar akibat taufan berkenaan kelmarin ketika memancing.

"Dua daripada mereka diselamatkan, namun rakan mereka berusia 26 tahun masih belum ditemui," katanya.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:04 AM