MOHD Fakhrulrazi (tengah) dihukum penjara. FOTO Sairien Nafis
Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Naib Ketua Pemuda Amanah Negara (Amanah), Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen, hari ini atas tuduhan mengeluarkan perkataan menghasut dalam protes jalanan, tahun lalu.

Hakim Shamsudin Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Fakhrulrazi, 37, berkuatkuasa hari ini selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah diakhir kes pembelaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Ariff Azami Hussien yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga pihaknya memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mohd Fakhrulrazi didakwa menyebut kata-kata menghasut di hadapan Kompleks Sogo, di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 4.30 petang, 21 Februari 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 1:18 PM