PEMAIN Terengganu Norshahrul Idlan (kanan) diasak pemain Pahang ketika membuat sepakan.
Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Jaringan penalti pemain import dari Jepun Issey Nakajima Farran menyelamatkan pasukan Terengganu daripada tewas selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak malam tadi.

Terengganu yang turun dengan misi wajib menang untuk memperbaiki kedudukan dalam liga, bermula hambar dan tidak ada percubaan menarik sehingga perlawanan memasuki minit ke-30.

Sebaliknya, aksi longlai yang disajikan tuan rumah nyaris dihukum pelawat dengan beberapa percubaan menarik terutama menerusi Faysal Shayesteh pada minit ke-14 namun rembatan pemain itu sedikit tersasar.

Terengganu yang terdesak untuk memburu jaringan mula mengatur gerakan selepas 34 minit perlawanan dengan percubaan pertama melalui bekas penyerang kebangsaan Mohd Ashari Samsuddin namun rembatan pemain itu melepasi palang gol Tok Gajah.

Seminit selepas itu, Norshahrul Idlan Talaha memperoleh peluang untuk membuka tirai jaringan tetapi pertahanan lawan sudah bersedia untuk menafikan cubaan pemain kelahiran Besut itu.

Skuad Penyu mencipta satu lagi peluang menerusi Mohd Ashari tetapi rembatannya pada minit ke-45 gagal menemui sasaran walaupun penjaga gol sudah tersilap langkah.

Bersambung babak kedua, pasukan Peteh Terengganu Peteh menukar rentak permainan dengan melakukan corak permainan pantas sekali gus memberi tekanan kepada pelawat.

Bagaimanapun, peluang yang diperoleh menerusi Mohd Ashari (minit ke-46), Norshahrul Idlan pada minit ke-48 dan 67 gagal disudahkan dengan baik.

Skuad Tok Gajah yang sesekali menyerang juga mendapat peluang menerusi pemain import Pablo Andres Vranjican pada minit ke-63 namun rembatan pemain itu melepasi palang.

Pada minit ke-81 Pahang memperoleh jaringan pendahuluan menerusi tolakan mudah Vranjican dan sikap tidak putus asa pemain tuan rumah berbaloi apabila berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi sepakan penalti Issey Nakajima Farran pada minit ke-88.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 8:31 AM