Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Impak gagal layak beraksi di Sukan Olimpik Rio menyaksikan skuad hoki lelaki negara jatuh satu anak tangga di tempat ke-14 menerusi senarai ranking terbaru dikeluarkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) kelmarin.

Perkembangan terbaru itu menyaksikan kedudukan skuad negara sebenarnya semakin ketinggalan, namun Ketua Pegawai Eksekutif Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) K Logan Raj berkata, situasi itu sudah dijangka.

“Kami memang sudah menjangkakan ranking akan jatuh. Sebab selain tidak beraksi di Olimpik, kami juga tidak bermain di kejohanan yang menawarkan mata.

“Memang kedudukan ranking penting tapi itu bukan perkara utama.

“Yang penting kami perlu meraih keputusan terbaik selepas ini di tiga kejohanan utama, Trofi Juara-Juara Asia, Liga Hoki Australia dan kelayakan Piala Dunia tahun depan,” katanya ketika ditemui semalam.

Ditanya adakah kedudukan ranking itu mampu diperbaiki sekiranya Malaysia meraih keputusan positif padsa saingan Trofi Juara-Juara Asia yang pertama kali menawarkan mata ranking dunia, Logan berkata, FIH belum memberi pengiraan sebenar berapa mata yang ditawarkan pada saingan di Kuatan, Pahang bermula 20 hingga 30 Oktober itu.

“Maklumat awal yang saya tahu ialah mungkin pemberian mata itu sama dengan Sukan Asia,” katanya.

Pemenang emas Olimpik Argentina adalah antara yang paling menyerlah apabila naik lima anak tangga di tempat kedua.

Sepanyol dan Ireland juga mempamer peningkatan ranking apabila masing-masing menduduki tempat ke-9 dan 10.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 8:04 AM