Hafiz Ithnin
bisnes@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Bhd (TM) ketika ini dalam perbincangan dengan beberapa syarikat pemaju hartanah untuk membangunkan projek bandar pintar di negara ini.

Syarikat telekomunikasi itu juga dalam proses perbincangan dengan syarikat pemaju hartanah untuk membangunkan lebih tiga projek bandar pintar yang mana ia akan memfokuskan kepada pembangunan Internet untuk segalanya (IoT).

Ketua Pegawai Eksekutif Teknologi dan Inovasi TM, Giogio Migliarina berkata, IoT adalah satu set teknologi yang kondusif bukan saja sesuai digunakan dalam projek hartanah, tetapi ia juga membantu industri lain seperti perbankan dan pembuatan.

Beliau berkata, pihaknya yang mempunyai kepakaran dalam bidang jalur lebar dan Internet di negara ini boleh membantu pelbagai industri tempatan menerima manfaat IoT.

“Dengan adanya perkhidmatan telekomunikasi dan sambungan serta rumusan ICT dan IoT diintegrasikan ke dalam pembangunan hartanah dan perbandaran tempatan, syarikat akan dapat membawakan gaya hidup digital yang dipertingkatkan kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

“Ketika ini, kami bersetuju untuk bekerjasama dengan syarikat hartanah, Aspen Vision All Sdn Bhd (AVA) bagi membangunkan bandar pintar, Aspen Vision City di Batu Kawan, Pulau Pinang,” katanya pada majlis menandatangani usahasama dengan AVA di sini, semalam.

Aspen Vision City yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025 adalah projek bersepadu meliputi kediaman, pusat membeli-belah, hotel, ruang pejabat dan runcit serta hospital.

Projek itu yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM8 bilion membabitkan sekitar 99.1 hektar dan menawarkan pegangan bebas kepada pembeli.

Giogio berkata, TM peka dengan pertumbuhan segmen vertikal hartanah serta keperluan kepada perkhidmatan pintar yang semakin meningkat dan ini memberi peluang kepada TM untuk menunjukkan keupayaan dan kepakaran syarikat dalam pembangunan perkhidmatan bandar pintar.

“Menerusi kerjasama ini, TM akan menyediakan antaranya rumusan pemantauan keselamatan, perkongsian kereta, papan tanda digital, tempat letak kereta pintar, tenaga dan pengurusan sisa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 7:47 AM