PILIH cenderahati sesuai untuk dibawa pulang sebagai oleh-oleh kepada keluarga, rakan dan insan tersayang.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Membeli hadiah atau cenderahati sebagai tanda kenangan ketika bercuti untuk keluarga dan rakan bagaikan satu kemestian.

Namun, disebabkan terlalu kerap pergi bercuti dan membeli oleh-oleh, ada kala kita bagaikan tidak tahu apa lagi yang mahu dibeli untuk dibawa pulang.

Bagaimanapun, ada antara kita membeli terlalu banyak oleh-oleh atau tersalah beli barangan yang sesuai hinggakan ia tidak dihiraukan, tidak dipakai, tidak dihargai, tidak disukai atau mungkin tersimpan di dalam almari sahaja.

Oleh itu, sebelum membeli oleh-oleh untuk keluarga, insan tersayang ataupun rakan, jom semak tip ini terlebih dahulu.

Perancangan

Sebelum membeli oleh-oleh, rencanakan apa akan dibeli sama ada makanan, pakaian atau barangan lain. Buat senarai nama siapa ingin dibelikan oleh-oleh supaya tidaklah terbeli lebih atau kurang.

Saiz barangan dibeli

Kalau diikutkan hati, semua barang mahu dibeli. Namun, ketika mencari oleh-oleh usahakan membeli barangan yang tidak memerlukan ruang penyimpanan yang besar. Jika menaiki pesawat, pastikan oleh-oleh itu tidak menjejaskan kuota bagasi bagi mengelak anda terpaksa membayar lebih.

Cari maklumat

Sebelum berangkat ke destinasi, cari maklumat mengenai pasar tradisional/tempatan yang menjual pelbagai jenis cenderahati. Cari tempat membeli oleh-oleh yang bagus, banyak pilihan dan sesuai dengan bajet anda.

Kalkulator

Kalau bercuti di luar negara, bawa kalkulator kerana tidak semua peniaga di destinasi dituju boleh berbahasa Inggeris. Transaksi akan lebih lancar jika kita menunjukkan nombor di kalkulator.

Tawar-menawar

Usahakan menawar harga barang yang ingin dibeli. Jika bercuti dengan agensi percutian, minta bantuan pemandu pelancong untuk tawar-menawar bagi mendapatkan harga terbaik dan murah.

Jangan asal beli

Sebaiknya, buatlah pemilihan. Jangan main asal beli. Sudahnya barang yang dibeli tersimpan begitu saja. Belilah barangan yang sesuai buat si penerima oleh-oleh itu nanti.

Mengikut kemampuan

Sudah namanya buah tangan, hadiah atau cenderahati. Biarlah apa yang dibeli bersesuaian dengan bajet anda. Jangan disebabkan terlalu banyak membeli oleh-oleh yang mahal mengganggu keperluan anda sepanjang bercuti.

Pilih barangan sesuai

Walaupun hanya sekadar barangan kecil, anda perlu cerdik untuk meningkatkan kualiti pembelian oleh-oleh. Jadi, elak membeli di lapangan terbang, pemegang kunci, gelas atau piring serta barang yang mungkin anda sendiri tidak akan menyimpannya di rumah. Ini termasuk baju dan topi sukan yang tertulis nama pemain atau kelab tertentu kecuali penerimanya memang penggemar fanatiknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 6:15 AM