Sanjeevan ditahan petang tadi. FOTO ihsan PDRM
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan ditahan lagi di Medan Damansara, di sini, pada 6.15 petang tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Sanjeevan kali ini ditahan kerana disyaki menggunakan kelayakan akademik palsu bagi permohonan kerja.

Katanya, tangkapan dilakukan oleh pasukan JSJK Bukit Aman dan Kuala Lumpur selepas mendapat aduan daripada seorang pengarah syarikat yang menawarkan jawatan konsultan kepada lelaki itu.

"Dia (Sanjeevan) mendakwa dirinya memiliki dua ijazah daripada dua universiti di United Kingdom kepada seorang pengarah syarikat.

"Mangsa terpedaya dengan kelayakan akademik suspek dan seterusnya menawarkan jawatan konsultan kepada suspek bagi tujuan membawa masuk perniagaan ke dalam syarikat terbabit.

"Suspek bekerja di syarikat terbabit bermula Jun 2013 hingga Januari 2014 sebelum ditamatkan perkhidmatan kerana kegagalan prestasi dan mangsa turut mendapat maklumat daripada media sosial bahawa lelaki berkenaan mempunyai kelayakan akademik palsu,"katanya menerusi satu kenyataan sebentar tadi.

Menurut Acryl Sani, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan dijangka akan dituduh di mahkamah esok.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 420/417 Kanun Keseksaan kerana menggunakan akademik palsu bagi tujuan menipu.

Sanjeevan sebelum ini pernah ditahan bersama pemandunya, seorang warga India kerana disyaki melakukan ugutan jenayah serta peras ugut di Plaza Tol Nilai, pada 22 jun lalu.

Pada 11 Ogos pula, lelaki berusia ditahan di sebuah hotel di Putrajaya kerana melakukan pemerasan terhadap pengendali pusat judi dengan 20 kertas siasatan di buka terhadapnya di Mahkamah Temerloh.

Pada 15 Ogos Sanjeevan ditahan di Medan Damansara berdasarkan laporan mangsa pernah di peras ugut olehnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 9:41 PM