ACARA penyampaian hadiah selepas tamat pusingan akhir.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


Percubaan kali pertama seorang eksekutif akauntan menyertai peraduan membawa tuah kepada dirinya selepas muncul pemenang utama dan membawa pulang wang tunai RM100,000 dalam pusingan akhir Peraduan Super Syiok sempena ulang tahun ke-25 anjuran kumpulan Super, baru-baru ini.

Bagi Fong Yoke Yin, 32, cubaannya menyertai peraduan itu membawa tuah kerana tanpa disangka dia muncul juara dengan mengalahkan empat peserta akhir lain.

“Saya tinggal di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan terpaksa mengambil cuti untuk datang ke sini, namun semuanya berbaloi apabila saya berjaya membawa pulang RM100,000.

“Saya membeli lebih empat produk Super dan cuba menyertai peraduan yang diselitkan di dalamnya sebelum dipilih untuk bertanding dalam pusingan akhir ini,” katanya.

Menurutnya, semua produk Super terutama kopi tiga dalam satu menjadi kegemarannya sekeluarga kerana keenakan rasanya selain mudah disediakan.

“Saya merancang untuk menyimpan separuh daripada wang kemenangan ini untuk anak perempuan saya dan selebihnya didermakan kepada pihak yang memerlukan.

“Kemenangan ini amat menggembirakan saya dan suami kerana ia satu jumlah wang yang besar dan menjadi antara kenangan terindah dalam hidup saya,” ujarnya selepas tamat peraduan terbabit di Tesco Extra Puchong, Selangor.

Sementara itu, Pengarah Eksekutifnya, Steven KH Lim berkata, pusingan akhir peraduan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM250,250 selain hadiah mingguan sebanyak RM2,500 dan hadiah harian sebanyak RM250.

“Selepas berlangsung hampir tiga bulan sejak Mac lalu, kami berjaya menarik lebih 47,000 penyertaan namun hanya lima finalis dipilih ke pusingan akhir bagi menentukan pemenang utama.

“Dalam pusingan akhir ini, finalis perlu melepasi beberapa cabaran sebelum hanya seorang daripada mereka layak dinobatkan sebagai pemenang utama manakala empat finalis lain menerima hadiah istimewa iaitu wang tunai RM3,500 setiap seorang,” katanya.

Tambahnya, penganjuran peraduan itu antara cara Super kekal relevan dan pada masa sama menghargai setiap pelanggan setianya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 5:18 AM