Gambar rakaman CCTV yang disiarkan Polis Wilayah Utara Australia menunjukkan empat lelaki yang memecah masuk sekolah dan meninggalkan tiga buaya. - Foto EPA
Reuters

Darwin, Australia: Polis sedang memburu empat lelaki yang meninggalkan tiga buaya air masin yang kurus di sebuah sekolah selepas memecah masuk dan mencuri peralatan komputer.

Menurut polis Wilayah Utara, mereka memasuki Kolej Taminmin di Humpty Doo, 40 kilometer di selatan Darwin, awal pagi Ahad lalu, selepas menolak masuk buaya berkenaan melalui tingkap yang dipecahkan,

Rakaman CCTV menunjukkan mereka mencuri peralatan komputer sebelum melarikan diri.

Menurut jurucakap jabatan perlindungan hidupan liar, reptilia terbabit yang diikat mulut berkemungkinan diambil dari satu ladang buaya berhampiran dan dijangka tidak dapat hidup lama kerana keadaan kesihatan yang buruk.

“Buaya itu hanya tinggal kulit dan tulang, tidak melawan ketika ditangkap. Kami akan mengesan haiwan itu dari ladang mana,” kata Renjer Luke McLaren kepada radio ABC.

Polis masih belum dapat memastikan motif penceroboh terbabit membawa bersama buaya itu dan meninggalkannya di sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 5:44 PM