Gold Coast, Australia: Juara bertahan Adam Scott dan dua rakan senegara dari Australia Scott Strange dan Wade Ormsby mengikat kedudukan selaku pendahulu selepas tamat tiga pusingan kejohanan PGA Australia dengan pemain Amerika Syarikat Boo Weekley ketinggalan satu pukulan.

  Scott membenam tiga bawah par 69 manakala Strange dan pendahulu sebelum itu Ormsby melakarkan 71 pukulan untuk jumlah keseluruhan 54 lubang dengan 10 bawah par 206 di lapangan Royal Pines.

  Weekley yang beraksi di Australia buat kali ketiga dalam tempoh empat minggu turut melakukan 69 pukulan dan mengikat kedudukan di tempat keempat bersama seorang lagi pemain Australia Jason Scrivener yang melakarkan 68 pukulan. Weekley berjaya melakarkan pukulan terbaik semalam apabila dia melakukan pukulan cip untuk eagle di lubang 12. 

  Pemain AS Scott Stallings melakarkan 68 dan terikat di kedudukan ketujuh, ketinggalan empat pukulan di belakang pendahulu.

  Manakala Jarrod Lyle dari Australia kembali beraksi selepas pulih daripada penyakit leukemia melakarkan 70 pukulan berada berkedudukan tempat kesembilan ketinggalan lima pukulan selepas sekadar membenam lima bawah par.

  Strange pada satu ketika mendahului permainan dengan kelebihan satu pukulan ketika saingan berbaki dua lubang namun bogey di lubang ke-17 mengakibatkan dia terpaksa berkongsi kedudukan bersama Scott. Ormsby yang melakukan putt untuk birdie pada lubang ke-18 turut sama menyertai kelompok pendahulu. 

  Scott gagal menyempurnakan beberapa peluang melakukan birdie.

  “Ia satu keadaan yang sukar apabila beberapa pemain berdepan kekecewaan kerana melakukan kesilapan dan terpaksa berusaha keras,” kata Scott. “Catatan mata tidak begitu baik hari ini tapi saya bernasib baik kerana tidak tergolong dalam kelompok itu. Jika itu yang berlaku esok hari (hari ini), saya mungkin tidak boleh menang. -AP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:08 AM