PEGAWAI SPRM ahli perniagaan bergelar 'Datuk' untuk mohon perintah tahanan reman. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan reman selama lima hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret di sini kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM500,000.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman.

Suspek berusia 64 tahun yang juga terbabit dalam perniagaan pembalakan ditahan di rumahnya di Bukit Jalil, Kuala Lumpur oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 4.40 petang semalam.

Difahamkan, suspek dikatakan menerima rasuah kira-kira RM500,000 daripada kontraktor bagi mendapatkan kontrak membawa keluar kayu balak di Pantai Timur.

Jurucakap SPRM yang ditemui berkata, setakat ini, hanya suspek sahaja ditahan selain tiada apa-apa rampasan dibuat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta pencegahan rasuah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 12:11 PM