Siti Nadzirah Che Mud
am@hmetro.com.my


Machang: Seorang remaja lelaki maut manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kereta di Kilometer 31.9 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, dekat Labok, di sini, kira 10 malam tadi.

Dalam kejadian itu,Muhammad Faiz Radzali, 17, meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan serius dan rakannya, Adam Syafiq Abdul Aziz, 17, parah dan tidak sedarkan diri.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk dibedah siasat dan rawatan.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu remaja berusia 17 tahun dari arah Kuala Krai ke Kota Bharu, hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya.

"Akibatnya, pemandu kereta itu merempuh mangsa yang datang dari arah bertentangan dan seorang daripadanya meninggal dunia kerana kecederaan serius.

"Seorang lagi parah, manakala pemandu kereta itu hanya cedera ringan di kepala," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 10:25 AM