DARI kiri, Nor Aisha, Roslan dan Siti Zubaidah meneliti buku kesihatan untuk jemaah haji sebelum bertolak ke KLIA dari Kelana Jaya.

Kelana Jaya: Sekalipun bakal menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) Oktober ini, Nor Aisha Amera Che Roslan, 15, tetap ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji bersama ibu dan bapanya sebelum menduduki peperiksaan itu sebaik pulang ke tanah air.

Siti Zubaidah Nasri, 49, berkata, dia dan suami, Che Roslan Husin, 54, sudah lama merancang untuk membawa Nor Aisha bersama mengerjakan haji dan membuat pendaftaran haji untuknya pada 2007.

“Nor Aisha sudah tahu namanya didaftarkan cuma kami perlu sentiasa memperingatinya setiap tahun supaya membuat persiapan menerusi pembacaan mengenai haji supaya ada pengetahuan asas sekiranya dipanggil Tabung Haji (TH).

“Selepas mendapat panggilan daripada TH, saya sebagai ibu dan guru menasihati anak supaya membahagikan masa antara waktu mengulang kaji bagi PT3 dan meluangkan masa membaca buku panduan haji,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji, di sini.

Menurutnya, walaupun ada sedikit kebimbangan terhadap tumpuan dan persediaan anak menghadapi PT3 namun mereka akan menggunakan peluang mengerjakan haji ini untuk berdoa supaya dia berjaya dengan cemerlang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 6:28 AM