AKSI lasak pemain polo kanu bagi kategori lelaki terbuka.
PERLU kemas membawa bola.
BABAK cemas di depan gawang.
PEMAIN polo kanu cuba membuat hantaran kepada rakan.
AHLI pasukan Barbie dari Singapura cuba menghalang pasukan Kuala Lumpur.
Oleh Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Terasa ngilu apabila melihat dua kayak bertembung, selain bunyi dentingan pendayung berlaga sebaik pemain polo kanu kedua-dua pasukan bergasak.

Tidak cukup dengan itu, babak pemain terlangkup di dalam air ketika berusaha menimbulkan diri kembali dan meneruskan permainan terus menerbitkan rasa kagum pengunjung menyaksikan Kejohanan Kanu Jemputan Kuala Lumpur di Taman Tasik Titiwangsa, baru-baru ini.

Lasaknya sukan ini apabila memerlukan pemain berkemahiran tinggi dalam mendayung kayak serta pengawalan bola untuk setiap pasukan bertanding.

Kapten pasukan Kuala Lumpur, Norrasidah Nordin, 40, berkata, biarpun sukan ekstrem ini dilakukan dalam air, tidak semestinya pemain mahir berenang.

Katanya, dalam kejohanan kali ini, majoriti pasukan tempatan mengetengahkan pemain muda iaitu barisan junior dalam pasukan kanu polo negeri dan sebahagian besar daripada mereka bukan perenang baik.

"Sebenarnya, ramai pemain dalam kejohanan kali ini adalah golongan junior dan mereka berlatih dalam sesi latihan ketika cuti sekolah.

"Kejohanan peringkat terbuka antarabangsa pada hari ini adalah sesuatu yang baru bagi mereka. Selaku ahli senior, kami melihat mereka ada potensi kerana berjaya memberi saingan kepada pasukan luar.

"Mereka pandai mendayung, cuma kurang kemas membabitkan teknik 'roll' untuk timbul kembali. Menariknya dalam sukan ini, biarpun tak pandai berenang, mereka tidak serik jatuh ke dalam air," katanya.

Mengenai saingan, Norrasidah berkata, taktikal dan mental kuat antara cabaran buat pasukan tempatan sepanjang bertembung dengan pasukan lawan.

"Kekangan pengalaman membuatkan ahli pasukan baru beremosi. Itu bukan sesuatu yang sihat dalam pertandingan ini kerana kita perlu fokus.

"Contohnya, dalam pertandingan menentang Singapura, mereka beremosi apabila terikut-ikut dengan permainan pantas pasukan lawan. Fokus hilang dan mereka gagal bersaing dalam pertandingan. Saya cuma ingatkan mereka supaya bertenang dan bermain seperti biasa.

"Kesimpulannya, mereka perlu meningkatkan lagi skil dan pendedahan dalam kejohanan ini supaya membuatkan mereka komited untuk hadir dalam setiap latihan," katanya yang berharap lebih ramai belia menyertai sukan ini.

Kapten Singapura, Tammie Kwek pula berkata, sukan ini popular sebagai sukan rekreasi di Singapura.

Katanya, sukan berkenaan turut diajar di kebanyakan kolej di Singapura. Malah, setiap tahun sekurang-kurangnya tiga perlawanan dalaman disertai pasukannya.

"Populariti sukan ini meningkat saban tahun. Banyak kolej atau universiti mempunyai pasukan sendiri untuk bersaing pada peringkat kebangsaan.

"Setiap tahun kami ada dua hingga tiga perlawanan. Ini baik untuk memastikan pasukan kami sentiasa bersedia untuk menyertai perlawanan luar.

"Mengenai latihan pula, untuk kejohanan ini kami tidak cukup persiapan kerana perlu memberi laluan kepada peperiksaan selama sebulan.

"Namun, prestasi kami masih dalam keadaan memuaskan dan mensasarkan dua tangga teratas dalam kejohanan kali ini," katanya.

Peserta dari Belanda, Tim Schrama berkata, pengalaman bermain dengan pasukan junior Kuala Lumpur bercampur baur. Katanya, dia gembira kerana dapat mengenali pemain baru tetapi geram sedikit apabila tewas dua perlawanan awal.

"Secara keseluruhan, ia pengalaman menarik. Gembira dapat mengenali ahli pasukan baru tetapi kecewa apabila kualiti mereka tidak setara.

"Saya bermain dalam pasukan kebangsaan Belanda dan sebagai pemain profesional, tentu rasa geram jika kalah dalam kejohanan seperti ini.

"Namun itu pengalaman menarik buat saya dalam usaha membantu pasukan junior tempatan terus memperbaiki prestasi sebelum berdepan banyak lagi permainan berskala antarabangsa dalam polo kanu," katanya.

Sempat meluahkan perasaan cemburu kepada pemain polo kanu tempatan kerana mempunyai lokasi latihan setiap tahun, dia teruja sepanjang berada di perlawanan berkenaan.

"Kalau di Belanda mahupun negara Eropah lain, ketika ini sungai dan tasik beku disebabkan musim sejuk tetapi di sini, saya lihat cuaca panas lembap sesuai untuk permainan polo kanu sepanjang tahun.

"Ini peluang untuk komuniti sukan ini terus berkembang kerana cuaca memudahkan pemain berbuat demikian. Rebutlah peluang dan diharap acara ini lebih meriah pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Presiden Polo Kanu Kuala Lumpur, Raja Shahrul Azremel Raja Sahar berkata, pada jemputan kali ini, pihaknya berpuas hati dengan sambutan pihak luar.

"Sambutan sangat memberangsangkan apabila kita menerima penyertaan lebih ramai, baik daripada pasukan tempatan mahupun asing. Sebanyak 32 pasukan mendaftar untuk tiga kategori iaitu Terbuka Lelaki sebanyak 14 pasukan, manakala dalam Terbuka Wanita dan Bawah 19 Tahun, kedua-dua­nya disertai sembilan pasukan.

"Kita terpaksa melanjutkan tempoh hari pertandingan bermula Jumaat hingga ke Ahad berikutan penyertaan menggalakkan itu. Format pertandingan seperti digariskan Kesatuan Kanu Antarabangsa (ICF) iaitu dari segi spesifikasi peraturan keselamatan peserta serta tertib dalam gelanggan mahupun juri pertandingan.

"Pentingnya dalam sukan ini, kanu digunakan adalah khusus iaitu mempunyai bampar di depan dan belakang bagi mengelak kecederaan akibat pelanggaran kanu.

"Pendayung turut mempunyai alas mengelak risiko kecederaan pada pemain ketika berasak selain topi keledar yang dilengkapi pelindung muka.

"Pemain perlu menjaringkan bola untuk kutipan mata. Di sini pemain perlu mendayung sambil menjaringkan gol. Sebagai ahli persatuan, kita mengalu-alukan lebih ramai orang membabitkan diri dalam sukan ini," katanya.

INFO

-Kejohanan Kanu Jemputan Kuala Lumpur 2014 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Persatuan Sukan Kenu Kuala Lumpur, Jawatankuasa Disiplin Polo Kanu Malaysia dan Jawatankuasa Disiplin Slalom Malaysia

-Tiga kategori dipertandingkan

-Berlangsung tiga hari

-Penyertaan asing dari Taiwan, Jepun, Belanda, Singapura, Thailand, Hong Kong, New Zealand, Indonesia, China dan Iran

Disiplin polo kanu:

-Keluasan gelanggang 23 x 35 meter

-Ketinggian pintu gol dua meter dari paras air

-Setiap pasukan mempunyai lima pemain selain tiga pemain simpanan

-Sepuluh minit bagi setiap pusingan

-Pemenang ditentukan dengan jumlah jaringan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:06 AM