POKOK sawi yang ditanam secara hidroponik.

Jika orang lain mengosongkan kawasan garaj rumah, lain pula dengan Siti Fatimah Mohd Salleh, 35, yang memanfaatkannya untuk bercucuk tanam secara hidroponik.

Pada peringkat awal, ibu kepada lima cahaya mata ini hanya menanam cili dan kobis, namun selepas menuai hasilnya, Siti Fatimah menambah kepada pelbagai jenis sayur-sayuran di kawasan terhad itu.

Hobi bercucuk tanam memberi kepuasan kepadanya yang gemar dengan kehijauan pokok, sekali gus digunakan sebagai keperluan harian termasuk dijadikan menu keluarga.

Katanya, konsep perniagaan adalah perniagaan memberi idea kepadanya yang sukakan aktiviti berkenaan.

“Pada saya pertanian satu ibadah dan juga terapi. Bercucuk tanam mengajar saya akan erti kesabaran dalam setiap perkara dilakukan.

“Ketika memulakan aktiviti ini, tanaman tidak menjadi dan saya hampir berputus asa. Namun, minat ini kembali terangsang selepas ia menjadi dan mengeluarkan hasil seperti diharapkan,” katanya.

Ditemui di rumah teres dua tingkat miliknya di Kempas Indah, Johor Bahru, Siti Fatimah berkata, mengusahakan kebun secara kecil-kecilan memberi kepuasan kepada dirinya.

“Lebih-lebih lagi hasil tanaman bukan saja memenuhi keperluan sendiri, bahkan dapat dikongsi bersama jiran tetangga.

“Saya memang tak jual sayur-sayuran ini. Selain dimakan sendiri, selalunya disedekahkan kepada masjid, jiran dan guru anak saya.

“Apabila kita beri pada orang dan penerimanya gembira, ketika itulah perasaan makin seronok,” katanya.

Dia menanam lebih 10 jenis tanaman sayuran berdaun seperti sawi, kobis, salad, tomato, cili, terung dan timun.

Selain itu, kawasan garaj rumahnya turut dipenuhi tanaman seperti pegaga, daun selom, serai, kunyit, halia dan ulam raja.

Minatnya itu turut disokong suami, Mohd Norwan Abdul Wahab, 38, dan anak-anak.

Lebih membanggakan, sejak bergiat aktif menanam sayur-sayuran Februari lalu, kos membeli barang dapur dan bahan mentah dapat dijimatkan.

Disebabkan keunikan rumahnya yang dipenuhi sayur-sayuran segar, kediamannya menjadi tumpuan jiran dan guru sekolah anaknya.

“Mereka datang kerana suka tengok sayur-sayuran gemuk dan sihat, malah kami berkongsi ilmu bersama-sama,” katanya.

Siti Fatimah merancang mengadakan kelas menanam sayur secara hidroponik untuk mereka yang berminat. - Ernalisa Othman

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 4:51 AM