FOTO ihsan PPM
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


Tumpat: Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor menahan seorang peniaga dan merampas 37 kampit beras seludup berhampiran Pasar Wakaf Bharu,petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, suspek berusia 59 tahun yang memandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback ditahan selepas diekori Unit Risikan Marin (URM) selama 20 minit dari Kampung Nibong di sini.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman berkata, sebelum itu, URM melakukan risikan selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya menahan suspek.

"Hasil pemeriksaan mendapati semua 37 kampit beras berkenaan berada di bahagian ruang penumpang hadapan,belakang dan but dianggarkan bernilai RM6,100.

"Suspek kini ditahan dan akan disiasat mengikut Akta Kawal Selia Padi Dan Beras Negara 1994," katanya ketika dihubungi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 3:41 PM