MASALAH kaki bengkok boleh dibetulkan menerusi teknik khas rawatan ortopedik.
MEMAKAI pendakap kaki pada kaki bayi yang mengalami Talipes untuk membetulkan kedudukan kaki.
Oleh Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Keadaan bayi yang dilahirkan dengan kaki bengkok iaitu pergelangan kaki dan buku lalinya berpusing menghala ke dalam atau ke bawah adalah kecacatan yang biasa berlaku pada seorang bayi dalam setiap 1,000 kelahiran di dunia.

Dalam perubatan kecacatan berkenaan dikenali sebagai Congenital Talipes Equino Varus (CTEV) atau Talipes yang diambil daripada perkataan Latin iaitu Talus untuk buku lali dan Pes untuk kaki. Istilah berkenaan merujuk kepada gaya berjalan bayi yang terjejas apabila terpaksa memijak dengan buku lali berikutan tapak kakinya berpusing.

Kecacatan sebegini juga digelar 'club foot' kerana keadaan kaki yang membengkok itu menyerupai bentuk pemukul golf. Ia boleh berlaku sama ada pada sebelah kaki atau kedua-dua kaki bayi disebabkan tisu yang menyambung otot kepada tulang atau tendon adalah lebih pendek daripada sepatutnya.

Pakar Perunding Ortopedik Kanak-kanak, Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Ong Shong Meng berkata, punca yang me­nyebabkan kaki bayi bengkok sejak dilahirkan masih tidak diketahui (idiopatik).

Bagaimanapun, ada kes kaki bayi mengalami Talipes disebabkan bayi berkenaan mengalami masalah kesihatan lain membabitkan kelainan tulang seperti spina bifida iaitu kecacatan kelahiran yang berlaku apabila tisu di sekeliling saraf tunjang tidak tertutup dengan sepenuhnya.

"Masalah kesihatan lain yang boleh mencetus Talipes seperti penyakit sendi kaku (artrogryposis) dan Sindrom Edward atau Trisomy 18 iaitu gangguan genetik yang berlaku pada kromosom ke-18.

"Kecacatan juga disebabkan bayi berada di posisi salah ketika dalam kandungan sehingga menjejaskan pembentukan tulang pada kaki.

"Namun, biasanya posisi yang salah mudah diperbetulkan oleh ibu melalui urutan atau menggunakan alat sokongan untuk membetulkan kedudukan kaki," katanya.

Bayi yang mengalami masalah kaki bengkok jika tidak dirawat dari peringkat awal akan berdepan pelbagai komplikasi ketika hendak belajar berdiri dan berjalan.

"Kedudukan pergelangan kaki dan buku lali yang berpusing menyukarkan kanak-kanak dengan Talipes untuk berjalan dengan betul berikutan dia tidak berpijak dengan tapak kaki.

"Sebaliknya, kanak-kanak terbabit akan berjalan menggunakan buku lali dengan tulang buku lali itu menekan ke lantai. Jika ini berterusan, kanak-kanak itu boleh mendapat artritis selain mengganggu perkembangan semula jadi otot di bahagian betis," katanya.

Dr Ong berkata, biasanya pakar perubatan mengenal pasti masalah kaki bengkok pada bayi hanya dengan memeriksa bentuk dan kedudukan kaki bayi yang baru dilahirkan. Kadangkala, ujian sinaran X juga digunakan bagi melihat tahap kecacatan.

"Bagaimanapun, diagnosis kaki bengkok kini boleh dilakukan menerusi pemeriksaan bunyi ultra ketika kandungan berusia 18 hingga 20 minggu.

"Walaupun diagnosis mengesahkan bayi yang dikandung mengalami Talipes, tiada tindakan boleh dilakukan bagi membetulkan masalah itu, namun ibu bapa boleh bersedia dengan membuat pilihan rawatan sebelum bayi dilahirkan," katanya.

Pemulihan kaki bengkok boleh dilakukan sama ada dengan kaedah konservatif iaitu melakukan urutan dengan beberapa teknik ortopedik atau pembedahan membetulkan kedudukan tulang kaki.

Rawatan untuk kaki bengkok biasanya bermula pada minggu pertama atau kedua selepas bayi dilahirkan kerana pada masa itu tulang dan sendi bayi mudah dilenturkan.

Teknik Ponseti adalah kaedah rawatan konservatif yang popular dijalankan terhadap bayi dengan Talipes kerana dikatakan menghasilkan keputusan lebih baik berbanding teknik lain.

"Mengikut teknik ini, pakar ortopedik akan menggerakkan kaki bayi pada kedudukan betul dan mengapit kaki itu dengan pemegang khas supaya ia berada pada kedudukan tetap.

"Rawatan ini dilakukan sekali atau dua kali seminggu dalam tempoh beberapa bulan sehingga ia menunjukkan perkembangan positif sebelum pembedahan kecil dilakukan bagi memanjangkan tendon Achilles.

"Selepas kaki dibentukkan semula, ibu bapa perlu membantu mengekalkan bentuk baru itu dengan melakukan senaman regangan, memakaikan bayi dengan pendakap kaki dan pastikan pendakap itu dipakai selalu sehingga tulang kaki yang dibetulkan menjadi utuh.

"Pemakaian pendakap kaki dalam teknik ini adalah penting supaya tulang kaki tidak bergerak semula ke bentuk asal yang bengkok," katanya.

Bagi teknik French pula, kaki bayi yang bengkok akan diregangkan ke bentuk normal sebelum dibalut dengan pita pelekat menerusi pendekatan fisioterapi. Namun, teknik ini memerlukan komitmen masa lebih lama berbanding teknik Ponseti.

Kajian juga menunjukkan bayi yang dirawat dengan teknik Ponseti dan membuat susulan rawatan secara konsisten menghasilkan fungsi kaki dan hayunan langkah lebih baik.

Bagi sesetengah kes, kaki bengkok tidak dapat dibetulkan dengan teknik konservatif kerana tahap masalah yang serius dan memerlukan pembedahan. Pakar bedah ortopedik boleh memanjangkan tisu yang terbentuk pendek ketika dilahirkan bagi mengembalikan kaki ke bentuk yang betul.

Selepas pembedahan, bayi akan dipakaikan pengapit khas selama beberapa bulan sebelum memakai pendakap kaki supaya kakinya tidak bengkok lagi.

"Walaupun pembedahan menjimatkan masa pemulihan kerana kaki yang bengkok dibetulkan segera, bayi masih memerlukan pembedahan lanjutan.

"Wujud komplikasi selepas pembedahan seperti risiko jangkitan, kerosakan neurovaskular dan luka berparut," katanya.

INFO

Faktor Risiko Kaki Bengkok (Info: www.mayoclinic.org)

-Masalah kaki bengkok lebih mudah berlaku pada bayi lelaki.

-Sejarah keluarga apabila ibu bapa atau adik-beradik lain pernah mengalami masalah kaki bengkok.

-Merokok ketika hamil dan wanita yang ada sejarah keluarga mengalami masalah ini risikonya adalah lebih tinggi.

-Kekurangan air ketuban ketika bayi dalam kandungan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:05 AM