HOGSANDER melihat replika projek MyTown di pejabat MyTown, Jalan Cochrane.
Nabil Basaruddin
bisnes@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Boustead Ikano Sdn Bhd (Boustead Ikano) yakin pusat beli-belah MyTOWN di Cheras mampu mencapai kadar penghunian sebanyak 85 peratus oleh penyewa dari jenama terkemuka tempatan dan luar negara apabila ia mula dibuka pada 15 November tahun ini.

Pengurus Besarnya, Jo Hogsander berkata, pihaknya yakin pusat beli-belah itu dapat mencapai jumlah yang disasarkan berikutan MyTOWN terletak dalam kawasan berpotensi bagi kunjungan orang ramai di sekitarnya.

Beliau berkata, kebiasaannya bagi pusat beli-belah ia akan dibuka dengan kadar penghunian sekitar 75 peratus namun bagi MyTOWN ia dijangka berupaya mencapai melebihi pusat beli-belah lain.

“Banyak jenama yang mula masuk seperti H&M, Uniqlo, Golden Screen Cinemas, Village Grocer, Zara dan Mango serta pusat perabot IKEA yang dibuka sejak tahun lalu dan mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai.

“Kami yakin dengan jenama yang dibawa masuk ia akan memberi nilai tambah kepada MyTOWN selain kedai yang bakal menawarkan pengalaman beli-belah unik, sekali gus menjadikan ia sebagai pusat tumpuan orang ramai,” katanya.

MyTOWN dibina dalam pembangunan hartanah bernilai RM1.4 bilion turut merangkumi campuran kedai dan kemudahan komersial untuk orang ramai dibuka pada suku keempat tahun ini dengan sasaran lima juta pengunjung di kawasan sekitarnya.

Pembangunan pusat beli-belah dilaksanakan Boustead Holdings Bhd (Boustead) dan Ikano Pte Ltd (Ikano) menerusi kerjasama strategik dalam membangunkan kawasan 10.22 hektar di sepanjang Jalan Cochrane dijangka merancakkan perkembangan ekonomi di kawasan sekitarnya.

Hogsander berkata, pihaknya turut memperuntukkan RM160 juta bagi memastikan jalan raya menjadi lebih baik serta tidak mengakibatkan kesesakan aliran trafik khususnya bagi pengunjungnya.

“Kami akan melakukan penambahbaikan jalan raya di hadapan pusat beli-belah supaya pengunjung akan lebih selesa ketika berkunjung selain menyediakan banyak akses masuk menghala ke MyTOWN,” katanya.

Hogsander berkata, pihaknya menyasarkan bagi tahun pertama operasi MyTOWN akan menerima jumlah keseluruhan sebanyak 28 juta pengunjung dan yakin ia dapat menjadi hab pusat beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 6:03 AM