Oleh Ustaz Haslin Baharin

Soalan saya mengenai hubungan ibu dan anak. Benarkah seorang ibu tidak mempunyai dosa terhadap anaknya?

Apakah cara bagi si anak untuk berdepan ibu yang sangat membencinya dan kerap menghamburkan kata-kata nista seperti panggilan binatang dan sumpah seranah? Adakah doa yang baik supaya si anak melembutkan hati ibunya?

NURMAHANUM

Jengka, Pahang

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Setiap lelaki bertanggungjawab terhadap ahli keluarganya dan perempuan itu bertanggungjawab terhadap rumah tangga suaminya dan ia bertanggungjawab terhadap orang bawahannya (jagaan." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ibu yang tidak menjalankan tanggungjawab terhadap anaknya pasti mempunyai dosa terhadap anaknya dan ditanya mengenai perkara itu di akhirat kelak. Tiada saranan terbaik melainkan bersabar dan terus berbakti kepada ibu bapa selagi mereka memerlukan.

Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: "Dan Tuhanmu perintahkan kepada engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.

"Jika seorang daripada mereka atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, jangan engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'ha', dan jangan engkau menengking dan menyergah mereka, sebaliknya katakan pada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

"Dan hendaklah engkau merendah diri pada mereka kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah mereka dengan berkata 'Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang mereka memelihara dan mendidikku sewaktu kecil." (Surah al-Isra, ayat 23 dan 24)

Jelas bahawa mentaati ibu bapa termasuk sebagai perintah utama dan setiap anak dilarang mencaci, mengherdik dan melaknat ibu bapa mereka kerana perbuatan itu antara sebesar-besar dosa besar.

Anda yang boleh memberhentikan perkara ini daripada terus berlaku. Jika anda melawan, tidak mustahil ia akan berlanjutan pada anak anda juga. Mereka akan melakukan perkara sama.

Anda boleh berdoa ayat 24 dari Surah al-Isra di atas dan ayat 38 dari Surah Nuh bermaksud: "Ya Tuhanku, ampunilah daku, ibu bapaku, dan siapa pun yang memasuki rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman lelaki dan perempuan.

"Dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kehancuran."

Selain itu, doa yang bermaksud: "Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau redai, dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-Mu yang saleh." (Surah an-Naml, ayat 19)

Boleh juga diamalkan ayat 1 hingga 5, Surah Toha bagi melembutkan hati ibu. Dapatkan semua teksnya dengan merujuk bacaan dalam al-Quran. Semoga Allah mengurniakan kesabaran dan memperkenankan doa anda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:03 AM