Hafiz Ithnin
bisnes@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Membeli kediaman adalah sesuatu yang bukan mudah memandangkan harga yang ditawarkan di pasaran yang semakin lama semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Namun, sebaik saja proses jual beli dimuktamadkan, kita sering mendengar mengenai isu ‘rumah siap pahat berbunyi’ yang mana kadang-kala kegembiraan memiliki rumah itu hanya seketika memandangkan terdapat pelbagai masalah termasuk kerosakan yang berlaku.

Seperti yang diketahui umum, selepas membeli sesuatu kediaman, pengguna mempunyai liabiliti 24 bulan selepas Penyerahan Pemilikan Kosong yang mana sekiranya terdapat kecacatan rumah dalam tempoh berkenaan, pemilik boleh menuntut hak mereka kepada pemaju untuk membaik pulih kediaman.

Berdasarkan statistik dari Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mencatatkan jumlah laporan yang diterima dalam kes berkenaan kecacatan rumah meningkat dari tahun ke tahun.

Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abd Rahman berkata, daripada segi perbandingan aduan mengenai kes kecacatan rumah dalam tempoh liabiliti pada tahun 2014 yang diterimanya adalah sebanyak 340 aduan dan pada tahun lalu, ia meningkat kepada 1,729 aduan.

Beliau berkata, peningkatan angka aduan yang diterima FOMCA pada tahun lalu menunjukkan berlaku kecuaian pemaju untuk menyediakan rumah yang berkualiti kepada pembeli.

“Namun, dalam tempoh tujuh bulan tahun ini, angka aduan membabitkan kecatatan kediaman direkodkan adalah sebanyak 78 aduan dan kita berharap ia akan berkurangan pada tahun ini.

“Dari segi segmen pemaju yang mempunyai masalah menyediakan rumah berkualiti adalah dalam kalangan kelas sederhana dan terdapat juga pemaju ternama tetapi mereka tidak merekodkan jumlah aduan yang tinggi,” katanya.

Pada 2014, FOMCA menerima 680 aduan membabitkan pelbagai isu perumahan antaranya pemaju gagal menyiapkan projek kediaman dari tempoh dijanjikan, kecacatan kediaman dan masalah kontraktor ketika membuat kerja-kerja pengubahsuaian manakala, angka pada 2015 lebih tinggi iaitu sebanyak 2,034 aduan diterima mengenai pelbagai isu perumahan.

Mohd Yusof berkata, antara faktor berlakunya kecacatan kediaman dalam tempoh liabiliti adalah pemaju menjalankan terlalu banyak projek dalam satu masa dan kurang memberi perhatian kepada projek yang dilaksanakan kontraktor.

Katanya, terdapat juga kontraktor yang tidak mempunyai lesen melaksanakan sesuatu projek kediaman yang akhirnya menyebabkan pembeli kecewa dengan produk perumahan yang dijual pemaju.

“Kita berharap pemaju lebih peka dengan isu ini kerana ia memberi masalah kepada pembeli dari segi kos dan membuang masa mereka untuk membaik pulih kediaman yang baru dibeli.

“Dalam tempoh liabiliti itu, ada juga pemaju perumahan yang tidak memberi maklum balas kepada pembeli dan hal seperti ini kita akan bawa kepada Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, pembeli juga perlu peka sebelum membuat keputusan memiliki rumah yang ditawarkan dengan mengambil langkah menyelidik dahulu latar belakang dan rekod projek yang pernah dibangunkan pemaju.

Beliau berkata, perkara paling utama adalah pembeli perlu memastikan pemaju atau kontraktor mempunyai lesen membangunkan sesuatu projek kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:12 AM