ANJUNG ceria dengan gaya hiasan mengagumkan.

Kehidupan di kawasan FELDA kini jauh berbeza berbanding perumahan peneroka dahulu. Rumah papan bertiang kayu kini berubah wajah menjadi kelihatan lebih menarik dan selesa.

Apa tidaknya. Dulu peneroka banyak menghabiskan masa di ladang membanting tulang empat kerat mencari rezeki tetapi sejak ladang diuruskan pihak FELDA, mereka ada masa di rumah menjalani kehidupan lebih baik.

Ketika mengunjungi FELDA Besout Dua, Slim River, Perak, baru-baru ini pelbagai keindahan landskap dapat disaksikan.

Ini terutama di di Jalan Merbok, Desa Muhibbah, apabila sampai di rumah milik Abdul Samad Abdul Rahman, 68, dan Sapiah Achil, 60, yang berasal dari Parit Buntar ini.

“Dulu kami sibuk ke ladang mencari rezeki menyara kehidupan keluarga. Tiada masa menghiasi rumah berbanding hari ini,” kata Sapiah.

Katanya, penataan landskap untuk keseluruhan rumahnya hasil gabungan idea bersama suami.

Pada bahagian tepi jalan mata tertumpu kepada binaan konkrit papan kenyataan jalan yang berwarna-warni.

Ditambah pula dengan binaan landskap pokok hiasan pelbagai warna mampu menceriakan kawasan tepi jalan itu.

Disusuli sebelah kanan terdapat dua kerusi untuk bersantai dengan tanaman pokok hiasan di atas tanah dan berpasu.

Gelung berwarna dan susunaan batu-bata pula menjadikan laman hadapan rumah menarik ini sekali.

Tidak cukup dengan itu, pada jalan masuk sebelah kanan iaitu di tepi stor juga terdapat susunan batu-bata berwarna putih yang disusun rapi dihiasi tanaman pokok pelbagai warna membangkitkan rasa kagum.

Tiba saja di perkarangan rumah, mata tertumpu pada anjung laman yang kelihatan ceria dan menarik.

Set binaan kerusi dan meja simenfero menampilkan suasana unik apatah lagi dihiasi pokok hiasan di atas meja.

Pada bahagian tiang dan kaki lima anjung itu pula terdapat pokok bunga berpasu menjadikannya ceria dan membangkit rasa ingin tahu rahsia mencipta taman unik daripada pasangan itu.

Begitu juga dengan teknik hiasan pada binaan rumah ini yang sangat mengagumkan dengan kemasan batu marmar.

Penghiasi dinding rumah itu digabungkan de­ngan warna menarik sekali gus menaikkan seri suasana secara keseluruhannya.

Melewati belakang rumah pula diindahkan dengan dapati bahagian dinding rumah tampil menarik dengan batu blok tersusun indah.

Pasangan ini bagai menjadikan laman belakang rumah mereka seperti taman larangan.

Penataan menarik pada bahagian luar stor pula nyata mencuri perhatian.

Koleksi peralatan berkebun yang digunakan peneroka dahulu masih dalam keadaan baik yang dilekatkan pada dinding stor itu.

“Biasanya bahagian belakang menjadi tempat membuang sampah atau menyimpan barang lama.

“Tetapi kami cuba tampilkan suasana bersih dan selesa supaya dapat bersantai sambil mengisi masa terluang di sini,” kata Sapiah. - Rosman Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:03 AM