GAMBARAN sausana natural dan menarik di sebuah restoran.
MUHAMMAD EFFENDI (kanan) dan Nur Azlin menunjukkan sebahagian papan pemotong yang dihasilkan Cendera Creative Resources.
KERUSI palet dari jenis kayu pain sesuai untuk bahagian luar rumah.
MUHAMMAD EFFENDI (kiri) dan Nur Azlin tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Idea silih berganti menjadikan kayu pain sebagai bahan utama perabot nyata menginspirasikan rekaan menarik.

Tidak mahu ketinggalan dengan trend dekorasi yang makin digilai ramai membuatkan lelaki ini sering mencuba kelainan.

Berpegang kepada prinsip tidak mudah mengaku kalah dan sukakan cabaran, Muhammad Effendi Mohd Iskak, 38, berusaha sedaya mungkin mencipta identiti tersendiri untuk setiap produk keluaran Cendera Creative Resources.

Saban waktu, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini lebih gemar menghabiskan masa di bengkel pertukangan untuk menyiapkan pelbagai tempahan.

Sesi temu bual juga diadakan di bengkel itu dan memberi peluang kepada penulis dan jurugambar melihat lebih dekat kepakaran Muhammad Effendi serta rakan kongsinya, Nur Azlin Rahmat, 49, menyiapkan tempahan pelanggan.

Keasyikan dengan kerja menyiapkan papan pemotong langsung tidak terganggu biarpun diminta menjawab pertanyaan penulis.

Jelas bakat dan kemahiran yang dimilikinya berjaya menghasilkan produk menarik mengikut rekaan, kesesuaian dan urat kayu pain itu sendiri.

“Fokus utama kami ialah produk seperti perabot dan aksesori hiasan diperbuat daripada kayu pain.

“Material kayu pain kami pula ada dua jenis. Pertama, benar-benar baru atau asli, kedua terpakai yakni asalnya menjadi kayu palet di kilang atau pelabuhan,” kata pengurus Cendera Creative Resources itu.

Terbaru, menurut Muhammad Effendi, panel dinding pain antara yang popular kerana mampu mengubah suasana ruang tamu tampil lebih segar dan natural.

“Bayangkan latar dinding ruang utama diserikan dengan panel kayu pain yang tentunya menyuntik keindahan gaya tersendiri.

“Ditambah pula dengan aksesori hiasan termasuk bingkai gambar atau ayat suci al-Quran diperbuat daripada kayu pain,” katanya yang mula serius dengan perusahaan berasaskan kayu pain sejak 2013.

Percaya dengan kekuatan yang ada pada setiap produk berasaskan kayu pain, Muhammad Effendi tidak menafikan kesesuaian atau mudah disuai padan dengan elemen dekorasi lain membuatkan ia menjadi pilihan utama.

“Rata-rata restoran atau kafe baru gemar dilengkapi dengan produk kayu pain baru atau palet.

“Kayu pain ini membawa identiti tersendiri dan kreativiti dalam menyusun letak setiap produk membuatkan ia tampil lebih eksklusif,” katanya.

Malah beliau turut menyedari generasi muda antara golongan paling gemar dan selesa memilih kayu pain sebagai hiasan restoran atau kafe baru.

Masing-masing cuba menzahirkan suasana natural, sedap mata memandang dan praktikal.

Kayu pain dan palet

Dalam usaha memenuhi cita rasa dan melengkapi gaya dekorasi, Muhammad Effendi tidak pernah lokek ilmu untuk memberi kefahaman sepenuhnya kepada pelanggan atau sesiapa saja yang keliru membezakan antara kayu pain baru atau palet.

“Ramai yang menyebut kayu palet ketika berminat membuat tempahan sedangkan kayu diinginkan sebenarnya pain baru atau asli.

“Padahal kayu palet tidak hanya daripada pain semata-mata. Kita juga maklum kayu palet banyak ditemui di kawasan industri atau pelabuhan,” katanya.

Secara jelas kayu palet struktur pengangkut rata yang digunakan untuk menggalas kontena ketika diangkut foklif atau jek palet.

Kayu palet memang kuat dan tahan lasak kerana dihasilkan untuk menampung berat barangan tetapi biasanya dibuang selepas digunakan. Kebanyakan kayu palet boleh menampung beban hingga 1,000 kilogram.

“Kayu pain baru atau asli dan palet mempunyai keunikan dan ada peminat tersendiri.

“Perabot daripada kayu pain atau palet elok digandingkan dengan kelengkapan buluh, rotan dan getah yang memperlihatkan ciri santai serta tidak rasmi,” katanya.

Berminat sila layari Facebook cenderacreative atau kunjungi bengkel di Lot 1938, Jalan Nanas, Meru, Klang, untuk sebarang keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:02 AM