Suspek kes pembunuhan Setiausaha OKR Miri diiring polis ke Mahkamah Majistret Miri untuk permohonan reman hari ini. - Foto MOHD RIZAL ABDULLAH
BERNAMA

Miri: Seorang pembantu peribadi seorang Datuk ditahan reman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes pembunuhan Setiausaha PKR Miri, Bill Kayong pada 21 Jun lalu.

Timbalan Pendaftar Mohd Hafizi Abdul Halim membenarkan permohonan reman itu yang dikemukakan Asisten Superintendan Soliment Nyian di Mahkamah Majistret Miri.

Memakai pakaian lokap berwarna jingga, suspek berusia 50 tahun yang menyerah diri pada 4.50 petang semalam di Balai Polis Miri, kelihatan tenang ketika jurubahasa mahkamah menjelaskan kepadanya dalam bahasa Cina mengenai permohonan perintah tahanan reman itu.

Suspek diwakili peguam David Kuok.

Kayong, 43, atau nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah, ditembak mati dalam Toyota Hilux kira-kira 8.30 pagi pada 21 Jun lalu, di persimpangan lampu isyarat di Lutong dekat pasar raya E-Mart di Jalan Miri-Bintulu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 6:38 PM