Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Pada 7 Disember lalu, keputusan siapa layak menyertai rancangan realiti Mentor Legend diketahui apabila penghibur terbabit selaku Mentor memilih protege masing-masing.

Dayang Nurfaizah Awang Dowty atau Dayang, 33, memilih peserta berasal dari Tawau, Sabah, Azmil Karim (Azmil) untuk berjuang bersama-sama dalam program disiarkan setiap Ahad, jam 9 malam di TV3.

Selain Dayang, penyanyi popular lain turut bertanding untuk musim yang menghimpun pemenang program Mentor sebelum ini.

Mas Idayu memilih protege Mohd Farhan Zahi Mohd Zaini atau Tuah, 22, berasal dari Sungai Petani, Kedah manakala Ella memilih Nurul Aina Abdul Ghani (Aina), 21, dari Seremban, Negeri Sembilan.

Zainal Abidin memilih Farah Nadeera Zaini (Nadeera), 21, berasal dari Mersing, Johor, Amy Search memilih Maishara Fazny Mahadzir (Sarah), 19, dari Kuala Lumpur, sementara Ajai memilih Mohd Zulfahmi Esmail (Fahmi), 26, dari Shah Alam, Selangor.

Ternyata enam peserta bertuah itu berbakat besar dan memiliki vokal memukau. Dayang ketika ditemui pada sesi fotografi mengakui perkara itu, malah tidak menafikan Azmil bakal berdepan cabaran besar, apatah lagi anak didiknya ditempatkan dalam kumpulan B bersama protege Ella dan Zainal.

"Sebaik semua Mentor selesai membuat pilihan protege minggu lalu dan melihat bakat dipamerkan barisan peserta, saya dapat rasakan bahang persaingan. Permainan sudah bermula dan semua Mentor pasti memasang strategi untuk protege masing-masing.

"Mahu atau tidak, saya harus ikut serta dan pada saya, senjata kami adalah lagu yang bakal dipersembahkan Azmil setiap minggu. Pemilihan lagu penting, begitu juga kerjasama antara mentor dan protege. Saya juga perlu beri tumpuan kepada susunan lagu, ibarat menyiapkan protege menjayakan persembahan konsert," katanya.

Selain itu, dia perlu memastikan Azmil mempu mengawal tekanan yang datang, sama ada sewaktu membuat persembahan mahupun tumpuan diberikan peminat.

"Muncul setiap minggu di kaca TV akan jadi pendedahan mengejut buat peserta. Kebanyakan mereka masih muda, termasuk Azmil. Apatah lagi dengan adanya media sosial, sedikit kesilapan sama ada perlakuan atau persembahan boleh menjejaskan peluang mereka.

"Sebagai Mentor, saya harus beri perhatian. Saya akan tekankan kepada Azmil bahawa jati dirinya perlu kuat. Jangan hanyut dan khayal dengan pujian. Setiap kritikan harus dilihat dari sudut positif dan berusaha memperbaiki diri," katanya.

Jelas Dayang, walaupun Azmil mempunyai keunikan dan bakat tersendiri, anak muda itu masih mentah pengalaman. Segala kelemahan yang ada perlu diperbaiki segera, malah Azmil harus cepat mencerna segala tunjuk ajar memandangkan tempoh pertandingan terlalu singkat iaitu tiga bulan.

"Saya yakin dengan keunikan nada suara Azmil, namun sebagai penyanyi dia harus faham dan kenal nada suara sendiri. Jika tidak, nyanyiannya akan kedengaran janggal. Jika dia kenal vokalnya, segala urusan sepanjang pertandingan ini akan jadi lebih mudah," katanya.

Kelebihan yang ada pada peserta lain tidak membuatkan Azmil gentar kerana tegas anak muda ini, dia tidak bersaing dengan mereka, sebaliknya diri sendiri.

"Saya harus tetapkan apa yang saya mahu dan kena yakin. Namun, saya tidak boleh terlebih yakin kerana ia boleh makan diri," katanya.

Kata Azmil, dia harus fokus kerana pembelajaran sepanjang berguru dengan Dayang bergerak pantas. Jika leka, pasti apa yang diusahakan akan menjadi sia-sia.

"Untuk sampai ke tahap sekarang dan dipilih Dayang menjadi protegenya bukan mudah. Banyak yang terpaksa saya korbankan. Disebabkan itu saya tidak boleh mensia-siakan peluang ini.

"Misi saya besar, bukan kemenangan yang dikejar. Andai ditakdirkan saya juara, itu bonus buat saya. Saya menyertai Mentor Legend kerana mahu menonjol bakat serta mencari ruang menyertai arena muzik tempatan," katanya.

Didikan dan perkongsian ilmu diperoleh dari Dayang juga akan diguna sebagai bekalan mempersiapkan diri menjadi penghibur disegani seperti mentornya satu hari nanti.

Pada peringkat awal ini, Dayang sering menegur sikapnya yang terlalu merendah diri tidak bertempat.

"Pesan Dayang, rendah diri itu bagus tetapi jika keterlaluan ia boleh buat kita hilang keyakinan diri, seterusnya hilang tumpuan di pentas," katanya.

Berkongsi pandangannya terhadap pesaingnya dalam kumpulan B, Azmil berkata, Nadeera mempunyai kelebihan berbanding Aina.

"Sudah dua kali saya melihat Nadeera membuat persembahan, ternyata dia memiliki vokal bagus dan kawalannya sewaktu mengadakan persembahan juga baik.

"Namun ini bukan bermakna saya menyerah kalah awal-awal, sebaliknya dia akan menjadi pesaing terdekat saya sepanjang Mentor Legend berlangsung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:02 AM