KEADAAN kereta yang terbabit kemalangan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


Dungun: Dua parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 92 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Nyior, Dungun, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, sebuah Perodua Viva dikatakan cuba memotong sebuah Honda Civic EK, namun bergesel dengan kereta Honda Civic EFI dari arah bertentangan.

Keadaan itu menyebabkan Honda Civic EFI dipandu Muhamad Syahril Afza Shahmsudin, 20, terpusing sebelum dirempuh Honda Civic dipandu warga Myanmar, Kreiya Loeb, 45.

Akibat kemalangan itu, Muhamad Syahril Afza yang berasal dari Taman Mesra Lemal, Kelantan dan Loeb yang tinggal di Kampung Sura, Hujung Dungun parah dan dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Pemandu Produa Viva terbabit dikatakan tidak berhenti dan melarikan diri.

Ketua Polis daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi berkata kes berkenaan disiasat mengikut seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 4:35 PM