FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: "Sejak mengetahui saya hamil, boleh dikatakan setiap hari mereka (Akim dan Bella) mencium perut sambil bercerita. Saya menganggap ini sebagai hadiah hari jadi saya yang diraikan semalam.

"Dalam masa sama ini adalah doa daripada semua peminat yang tidak sabar menunggu cahaya mata daripada kami," kata penyanyi, Ummu Syaikhah Stacy Anam atau Stacy mengesahkan dia kini hamil empat bulan.

Stacy, 26, berkata, dia menyedari perkara itu pada Ramadan lalu selepas lambat datang bulan.

"Memandangkan berat badan saya tak menentu, jadi saya tak sedar sebenarnya sedang berbadan dua.

"Disebabkan itu saya mengambil keputusan untuk membuat pemeriksaan doktor. Apabila dimaklumkan saya sedang hamil, tak ada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaan saya ketika itu," katanya.

Menurut Stacy, perasaan gembira itu turut dikongsi suaminya yang juga penyanyi Akim serta anak angkatnya, Bella.

Stacy berkata, kerjaya seninya berjalan seperti biasa memandangkan dia kini baru muncul dengan single terbaru berjudul Bila Bila.

"Buat masa sekarang, jadual kerja saya masih berjalan seperti biasa, cuma Akim memantau pergerakan saya supaya tidak melakukan kerja berat. Lagipun saya cepat penat.

"Bukan itu saja, selera makan semakin bertambah dan kuat tidur," katanya.

Stacy berkata, dia dan suami juga tidak kisah mengenai jantina asalkan bayi yang bakal lahir itu sihat dan cukup sifat.

Terdahulu berita gembira itu dikongsi Akim menerusi akaun Instagram miliknya sempena menyambut ulang tahun kelahiran Stacy yang ke-26 semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 4:03 PM