MOHD Hafiz menebang pokok sena manakala bapanya mengendalikan jengkaut menahan pokok dan menolaknya supaya tumbang ke barat di Kampung Londang, Masjid Tanah
MOHD Hafiz memotong dahan pokok mengikut ukuran sepanjang 1.82 meter atau enam kaki
BATANG dan dahan pokok sena yang sudah dipotong diangkat dengan jengkaut untuk dimuatkan dalam lori.
MEMBETULKAN mata gergaji rantai selepas menebang pokok sena di Kampung Londang, Masjid Tanah.
Hassan Omar
rencana@hmetro.com.my


Setiap pergerakan dan langkah perlu cermat, teliti serta berhati-hati. Jika tersilap, pokok yang ditebang atau dahan dipotong boleh memakan diri atau menyebabkan kecederaan serius.

Dengan lafaz 'Bismillah' Mohd Hafiz Mumidin, menghidupkan enjin gergaji rantainya. Pada usia 23 tahun, anak sulung daripada enam beradik ini tidak perlu diajar bapanya Mumidin Mohd Noor, 48, cara mengendalikan mesin itu.

Ketika ditemui Mohd Hafiz sedang melakukan persediaan sebelum memulakan tugas menebang sebatang pokok sena sebesar sepemeluk orang dewasa di Kampung Londang, Masjid Tanah, Melaka.

Langkah pertama dilakukan pemuda itu ialah membuat tapak di sebelah barat, iaitu dengan memotong secara lurus mendatar pada batang mengikut perancangan untuk menumbangkannya ke arah barat.

Proses itu diteruskan Mohd Hafiz dengan membuat potongan secara rencong dari arah sebelah atas tapak berkenaan yang akan ditemukan dengan bahagian tapak.

Sambil memerhatikan anaknya, Muhmidin menggantikan bakul mengaut tanah pada jengkaut dikendalikannya kepada penyepit mekanikal atau dipanggil ‘tangan’ bagi mempercepatkan proses memunggah batang kayu yang sudah dipotong ke dalam lori nanti.

Selepas 20 minit, Mohd Hafiz mula membuat potongan rencong pada sebelah timur membabitkan tiga suku batang pokok. Pokok sena itu mula berhayun perlahan diikuti batangnya condong ke arah barat.

Mumidin kemudian meregangkan lengan jengkaut dan menolak batang pokok menggunakan [tangan’. Sejurus kemudian kedengaran bunyi derapan memberi amaran kepada Mohd Hafiz supaya segera beredar mencari perlindungan kerana dia berisiko ditimpa batang pokok itu.

Mohd Hafiz berehat seketika. Dia kemudian mengambil spanar bagi membetulkan mata gergaji yang digunakan seperti dilakukan setiap kali selepas menggergaji pokok bagi mengelakkan rantainya terlalu ketat atau longgar.

Sepuluh minit kemudian, Mohd Hafiz memulakan tugas memotong batang dan dahan pokok sepanjang 1.82 meter itu manakala bapanya mengendalikan penyepit mekanikal pada jengkaut bagi memunggah hasil kayu itu kedalam lori.

“Saya mula menebang pokok pada usia 15 tahun. Mula-mula ayah ajar menebang pokok kecil menggunakan mesin gergaji kecil. Selepas makin mahir, barulah saya diajar tebang pokok lebih besar dengan mesin papan 20 inci,” katanya.

Mengimbas pengalaman menebang pokok sejak lapan tahun lalu, Mohd Hafiz berkata, dia nyaris maut apabila lehernya dihempap dahan pokok ditebangnya dalam kejadian April lalu.

“Saya berada di dalam bakul kren sedang menebang dahan di tengah pokok sena. Ketika itu sebuah lagi kren digunakan untuk mengikat dahan terbabit menggunakan rantai. Selepas dipotong, dahan itu tidak jatuh sebalikya ditarik kren hingga ternaik secara tidak sengaja.

“Semua kerja itu dibuat berhati-hati supaya tidak menjejaskan bangunan kolej berhampiran. Selepas memotong dahan di sekeliling pokok, saya mula memotong dahan itu,” katanya.

Dia yang berasal dari Kesang Tua berkata, selepas dahan besar itu terpisah dari batang pokok, tiba-tiba dia merasakan hentakan kuat pada leher menyebabkan pandangannya menjadi kabur, kepala pula berpinar hingga terduduk di dalam bakul kren akibat kesakitan.

“Saya tak tahu apa yang berlaku selepas itu kerana hanya sedar ketika berada di atas katil wad di Hospital Melaka. Syukur kerana Allah memanjangkan usia. Saya hanya tahu kejadian itu selepas ayah menceritakan perkara sebenar,” katanya.

Selain pengalaman pahit itu, Mohd Hafiz turut menempuh peristiwa lain termasuk berunsur mistik yang membuatkan dia lebih berhati-hati sebelum memulakan kerja menebang pokok.

Ketika ditugaskan menebang sebatang pokok ketapang sebesar dua pemeluk orang dewasa, bapanya membantu menahan pokok itu dengan jengkaut. Selepas membuat potongan muka dan rencong, dia kemudian membuat potongan di sebelah lain.

Bagaimanapun, apabila batang pokok itu makin menipis, ia tetap tidak menampakkan tanda-tanda akan condong, apatah lagi untuk tumbang menyebabkan dia buntu, malah mata mesin gergaji rantainya seolah-olah tidak lut untuk memutuskan batang pokok terbabit.

Melihatkan hal itu, Muhmidin segera mengarahkan anaknya mematikan enjin mesin gergaji rantai dan beredar.

Selepas berada agak jauh dari situ, Mohd Hafiz menyaksikan bapanya seolah-olah bercakap dengan sesuatu pada pokok berkenaan dan tidak lama kemudian, tolakan jengkuat berjaya menumbangkan pokok.

Sejak kejadian itu, Mohd Hafiz mula memahami alam ini bukan hanya dihuni manusia, sebaliknya turut dikongsi makhluk ciptaan Allah lain yang menjadikan pokok sebagai tempat tinggal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 12:35 PM