KARYA Sky Is The Limit - A Heritage turut memiliki siri yang dipamerkan di Palo Alto ketika ini.
LUKISAN mengenai kebebasan hidupan dalam Golden Hour.
AMY bersama sentuhan uniknya, The Ripple Effect.
Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Alam semula jadi sudah sebati dengan jiwa pelukis wanita ini, malah melihat pada lukisan yang kini sedang dipamerkan di Galeri Angkatan Pelukis Semalaysia (APS), penonton akan dapat melihat pelbagai variasi tumbuh-tumbuhan dan fauna.

Namun, sesuatu yang lebih menarik perhatian penulis apabila beliau memperincikan setiap karyanya menerusi teknik penggunaan cat tebal pada lukisan menerusi medium impasto dan cat minyak.

Penggunaan cat tebal merujuk kepada cara pembuatan karya yang memerlukan pelukis membentuk objek menggunakan cat berulang kali sehingga membuatkan objek itu bersaiz tebal di atas kanvas.

Teknik itu memerlukan beliau sama ada menggunakan jari atau pisau untuk membolehkan lukisan cat minyak dilihat lebih impresionis dengan tekstur tebal sehingga menghasilkan kesan tiga dimensi (3D) dari sudut tertentu.

Untuk menyiapkan satu karya mengambil masa lebih sebulan, apatah lagi jika lukisan itu bersaiz besar, ia mampu mencapai sehingga enam bulan untuk disiapkan.

Menurut Amy Hashim, minat melukis bermula sejak di bangku sekolah rendah dan diteruskan sehingga ke hari ini dengan melebarkan minatnya itu sehingga ke pameran antarabangsa.

“Pada 2014, saya menyertai pameran berkumpulan ‘Mobile Digital Art Summit and Exhibition’ di Palo Alto, California, Amerika Syarikat dengan menghantar karya yang dilukis menerusi aplikasi di iPhone.

“Pameran solo pertama saya bermula tahun lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menerusi pameran KL Converge.

“Peluang untuk melebarkan gaya lukisan ini makin terserlah apabila saya berpeluang menonjolkan bakat menerusi pameran Evolusi Sejadi yang berlangsung sekarang sehingga akhir Ogos nanti,” katanya.

Amy Hashim memperlihatkan gaya tersendiri untuk menyampaikan idea flora, fauna dan persekitaran bagi menghasilkan karya seni yang indah dan unik.

Bercakap mengenai alam semula jadi, beliau bukan saja bercerita mengenai bentuk asas tetapi huraian secara mendalam yang mengaitkan alam ini dengan kebebasan dan kedamaian.

Warna memainkan peranan dalam aspek pergerakan dan kemunculan objek 3D selain situasi dan saiz antara perkara biasa yang menjadi motif dalam lukisannya, namun beliau melihat aspek yang lebih mendalam dengan menyingkap kiasan dalam setiap karya.

Ke mana jua beliau pergi sama ada melancong atau bekerja, alam sekitar tidak pernah membataskan imaginasi dan pandangan beliau untuk melihat dunia ini dengan perspektif yang lebih murni.

Justeru, lahirlah karya seperti ‘The Sunny Side’ atau ‘By The Morning/Ad Dhuhaa’ ilham sewaktu berada di tepi pantai dengan menyaksikan keindahan alam ciptaan Yang Maha Esa.

Paling menarik, karya ‘Sky Is The Limit - A Heritage’ diilhamkan sewaktu beliau melihat pohon besar di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Baginya, warisan semula jadi itu perlu dijaga sebaiknya dan mampu mencecah usia ratusan tahun jika pembangunan mampu dikurangkan.

Pengunjung boleh melihat karya beliau di Galeri APS sehingga penghujung Ogos nanti dan berpeluang memiliki karya beliau serendah RM300 sehingga RM25,000. Masuk percuma.

INFO

- Artis: Amy Hashim

- Karya: 27 karya

- Lokasi: No 64 (1) Jalan Kuantan, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur

- FB: Amy Hashim Arts

- WhatsApp: 012-6700114

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 12:20 PM