Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Anak bongsu sinonim dengan karakter manja dan sukakan perhatian bukan saja daripada ibu bapa malah orang sekelilingnya.

Bagi yang tidak faham pasti melabel anak bongsu mengada-ngada sedangkan ia sifat semula jadi kebanyakan mereka.

Jadi, mereka yang menjalin hubungan dengan anak bongsu perlu tahu cara menjaga perasaan golongan berkenaan.

Ia penting bagi memastikan hubungan itu kekal harmoni tanpa timbulnya salah faham yang berpunca daripada perkara remeh.

Gen Y kongsikan lima tip untuk mereka yang menjalin hubungan dengan anak bongsu.

1. Tidak kisah beralah

Kebiasaannya, anak bongsu akan mendapat perhatian lebih daripada ibu bapa berbanding adik-beradik lain.

Jadi, mereka lebih manja dan sebagai pasangan, anda perlu banyak bersabar. Kalau boleh, elakkan bercakap kasar atau mencari gaduh kerana mereka mudah merajuk.

2. Cuba penuhi impian

Sejak kecil lagi apa yang dihajatkan mereka akan dituruti oleh ibu bapa.

Tidak semua anak bongsu begitu tetapi kebanyakannya mendapat apa yang diinginkan daripada keluarga.

Jadi, tidak salah rasanya jika anda berusaha memikat hati pasangan anda itu dengan memenuhi permintaan mereka jika berkemampuan.

3. Jadi pendengar setia

Disebabkan sifat yang manja, anak bongsu cenderung berkongsi masalah mereka dengan ibu bapa atau ahli keluarga yang rapat dengannya.

Jadi, anda perlu menjadi pendengar setia walaupun masalah yang dikongsikan itu kecil.

Anak bongsu hanya mahu perhatian dan seseorang yang boleh mendengar luahan hati mereka.

4. Ambil berat

Anda cukup bertuah jika ditakdirkan bercinta dengan anak bongsu kerana mereka ini bukan saja penyayang malah cukup mengambil berat mengenai orang sekeliling.

Maka, anda juga perlu mengambil berat mengenai mereka termasuk dalam hal kecil.

5. Jangan mudah cemburu

Segelintir mereka mempunyai sikap yang peramah dan mudah didekati jadi sebagai pasangan, cuba positif dan elakkan cemburu melampau yang boleh mengundang pergaduhan.

Mungkin mereka hanya mahu berkawan dan perhatian orang sekeliling.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 11:29 AM