(Dari kiri) Pengurus Besar Kumpulan, Servis Pelanggan Rangkaian Televisyen MPB Nini Yusof; Ketua Intigrasi dan Risikan Pemasaran Big Tree, Nita Zulkifli; Pengarah Pemasaran Kumpulan Perniagaan Pengguna Pasifik Selatan, Danny Chin; Pengurus Besar bagi Agensi / Pengiklanan Terus dan Khas, Roche Chew; Pengurus Perkhidmatan Pelanggan Kumpulan Rangkaian Televisyen MPB, Stella Cheong dan Pengurus Besar Big Drive Sales, Ling Siew Lan bersama anugerah selepas majlis anugerah.
Fareeza Hanum Rashid
news@nst.com.my


Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (MPB) meraih tujuh anugerah sempena The Spark Awards for Media Excellence 2016 yang berlangsung di Singapura, malam tadi.

Rangkaian Televisyen MPB menggondol emas untuk Penjenamaan Korporat Terbaik dalam kategori pengusaha media menerusi kempen Air Asia ‘Travelling Beruang in association with Air Asia’ dan gangsa bagi Pemacu Media Terbaik dalam kategori Televisyen/Video Dalam Talian menerusi kempen Nescafe Classic ‘Syukur Selalu’.

Selain itu, emas turut dimenangi untuk Kempen Terbaik dalam kategori pengusaha media menerusi Huawei ‘Huawei Best Wei’.

Sementara itu, Rangkaian Radio MPB tidak ketinggalan apabila meraih perak untuk Pemacu Media Terbaik menerusi penganjuran kempen Radio menerusi kempen Tourism Malaysia ‘Hot FM dekat Je Tour’.

The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) pula membawa pulang emas untuk Pemacu Media Terbaik bagi kategori media cetak menerusi kempen ‘Etika, It does not exist until you do it’ dan gangsa dalam Strategi Langganan Terbaik (kempen FullAMark).

Syarikat pengiklanan MPB, Big Tree Outdoor, antara lain memenangi gangsa untuk anugerah Strategi Pembabitan Terbaik untuk Telekom Malaysia ‘TM For The Makers of Tomorrow Mural Painting’.

Matlamat penganjuran The Spark Awards oleh Marketing Magazine itu adalah untuk meraikan strategi, produk dan perkhidmatan media terbaik di rantau Asia Tenggara, selain platform terulung kepada pengusaha media dalam mempamerkan inovasi serta nilai pendiriannya terhadap pengiklan, agensi dan pelanggan.

Panel juri The Spark Awards dibarisi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Havas Media, Andreas M Vogiatzakis; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Starcom MediaVest, Atipol Ithivatana; Ketua Strategi Zenith Singapore, Jason Tan; Ketua Pegawai Eksekutif GroupM Malaysia, Girish Menon dan Ketua Pegawai Eksekutif Carat Philippines, Gladys Basinillo.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 12:05 AM