JENAZAH Harun diusung untuk di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Talam, semalam. FOTO Nazirul Roselan
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


Kuantan: Ketua kumpulan ajaran sesat 'Tuhan Harun', Harun Mat Saat, 50, tidak pernah membuat pengakuan keluar dari Islam dan urusan pengebumiannya dilakukan mengikut cara Islam.

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak pernah dimaklumkan oleh mana-mana pihak Harun sudah murtad.

"Tiada sumber atau pihak yang memaklumkan pada kita yang arwah (Harun) sudah murtad dan kita juga tidak mendengar daripada Harun sendiri yang mengatakan dia sudah keluar daripada Islam.

"Jadi, kita masih mengikut cara Islam (proses pengkebumian) kerana dia adalah orang Islam, tidak sepatutnya timbul isu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Harun meninggal dunia Selasa lalu ketika mendapatkan pemeriksaan kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, pada 4.30 petang dan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Batu Talam, Raub, semalam.

Bagaimanapun, status agamanya menimbulkan persoalan dan perdebatan dalam kalangan netizen memandangkan Harun sebelum ini mengaku dirinya 'Tuhan' dan mempunyai pengikutnya sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 7:58 PM