LIMA penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Tiang Dua dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan tidak menghormati pegawai bertugas ketika dibawa di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


Melaka: Lima penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Tiang Dua, di sini, dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, selepas mengaku bersalah atas tuduhan tidak menghormati pegawai bertugas di pusat terbabit, pada April lalu.

Tertuduh Redzuan Abdullah, 43; Che Zainudin Che Busu, 37; Kamarudin Manap, 42; K Dhilesh, 47; dan Khairil Johari Yahya, 29; membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Asri Abd Rahman Sidik, selepas pertuduhan bersama bagi kelima-lima mereka dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, kelima-lima tertuduh didakwa bersama-sama berkelakuan kurang hormat terhadap kakitangan PUSPEN iaitu Abu Samah Lajis dengan membaling makanan yang disediakan, pada jam kira-kira 6 petang, 19 April 2016, di PUSPEN Tiang Dua, di sini.

Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Kaedah 68(d) Kaedah-Kaedah Pusat Pemulihan Dadah 1983 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 20(1)(b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998) yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Kesemua tertuduh merayu hukuman diringankan dan memohon hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 19 April lalu, namun Pegawai Pendakwa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Radi Abdullah memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran bukan hanya kepada semua tertuduh, malah kepada penghuni pusat pemulihan agar tidak mengulangi perbuatan sama.

Mohd Asri kemudian memerintahkan semua tertuduh dijatuhi hukuman penjara 18 bulan bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 1:53 PM