kapal dagang asing yang ditahan APMM kerana berlabuh tanpa kebenaran. FOTO ihsan APMM
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

Johor Bahru: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan kapal dagang asing yang berlabuh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Piai dekat Pontian, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, kapal dagang MV Vighnharta dikesan sedang bersauh di kedudukan kira-kira 4 Batu Nautika Tenggara Tanjung Piai dekat Pontian.

Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah Maritim Johor Bahru, Komander Maritim Iskandar Ishak berkata, kapal terbabit dikesan ketika bot peronda APMM menjalankan tugas Operasi Satria Selatan / Operasi Zuhal di perairan Johor Barat itu.

"Kita memeriksa kapal yang berdaftar di negara India itu dan seterusnya menahan kapal atas kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, kapal terbabit gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia untuk berlabuh tunggu dan kapal itu juga didapati melakukan kesalahan berlabuh di kawasan larangan bersauh di had pelabuhan Tanjung Pelepas di sini.

Selain itu, katanya, kapal itu juga gagal memaklumkan ketibaan kepada mana-mana pihak berkuasa perairan Malaysia semasa ditahan.

Menurutnya, kapal terbabit dipercayai dari Mumbai ke Singapura dan pemeriksaan terhadap kapal itu menemui 27 krew warga India berusia antara 24 hingga 69 tahun.

"Empat daripada krew itu kemudian dibawa ke pejabat APMM Daerah Maritim Johor Bahru untuk siasatan lanjut.

"Pemilik kapal boleh didakwa mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran dan Seksyen 449 Ordinan perkapalan saudagar (MSO) 1952 kerana gagal memaklumkan ketibaan kapal di perairan Malaysia, manakala, Seksyen 3 Akta Dius Api Persekutuan 1953 kerana gagal membayar dius api," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 1:52 PM