Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Musim baru konsert Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bermula September ini dengan persembahan hebat daripada artis terkemuka tanah air dan luar negara di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC, Kuala Lumpur.

Memperkenalkan dua Konduktor Residen, Harish Shankar dan Naohisa Furusawa untuk musim ini, MPO julung kali mempersembahkan konsert bertemakan A Musical Journey In Anime ciptaan Joe Hisaishi.

Seterusnya konsert The Music Of U2 yang menampilkan Brody Dolyniuk bersama MPO dipimpin Brent Havens yang akan menyanyikan lagu daripada band rock popular dunia, U2.

Persembahan sepanjang Oktober pula, MPO akan meraikan ulang tahun pemergian William Shakespeare ke-400 menerusi konsert bertemakan If Music Be The Food Of Love: Celebrating Shakespeare yang diinspirasikan daripada empat persembahan hebat karyawan agung Inggeris itu.

Kemuncak musim ini ialah konsert bertemakan Symphonic Pink Floyd pada Mac tahun depan dan menyaksikan versatiliti MPO membawakan muzik rock daripada album klasik band rock legenda Pink Floyd.

Pada bulan itu juga, MPO akan melengkapkan semua enam ‘concerto’ ciptaan pemuzik hebat Back menerusi siri konsert The Brandenburg Concertos.

Konsert lain MPO tahun depan ialah persembahan opera Mozart’s The Magic Flute, The Best Of Rodgers & Hammerstein dan Ladysmith Black Mambazo.

Selain itu, saksikan penampilan sulung MPO bersama artis klasikal terkenal seperti pemain violin, Nemanja Radulovic; pemain piano, David Fray; pemain flute, Andrea Oliva; pemain harp, Leonard Jacome; penyanyi soprano, Tamara Wilson; penyanyi baritone, Matthias Goerne dan konduktor, Michael Woods, Carl St Clair serta Rossen Milanov.

Turut kembali untuk musim ini konduktor Vladimir Ashkenazy, Yoel Gamzou, Gerard Salonga, Kolja Blacher, Gabor Takacs-Nagy, Roberto Abbado dan Guillaume Tournaire.

Pemain piano pula Tengku Irfan dan Stephen Hough juga bakal mempersonakan peminat pada musim ini.

Bagi persembahan khas membariskan artis tempatan Hands Percussion, kumpulan Akim & The Majistret dan Aubrey Suwito & Friends With The MPO - A Celebration Of 30 Years In Music yang menampilkan vokalis Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor dan Sean Ghazi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 12:45 PM