JET pengebom Tu-22M3 Russia yang ditempatkan di pangkalan udara di Hameran, Iran, untuk digunakan dalam serangan ke atas Daish di Syria. - AP

Moscow: Tentera Russia semalam melancarkan serangan udara dari Iran buat kali kedua terhadap kedudukan militan Daish di Syria dan menafikan tindakan itu mencabuli resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bermula kelmarin, tentera Russia menggunakan sebuah pangkalan tentera Iran untuk melancarkan serangan udara di Syria sekali gus mencetuskan kebimbangan Amerika Syarikat (AS).

Beberapa jet pejuang Sukhoi-34 milik Russia berlepas dari pangkalan Hamedan di barat Iran dan melancarkan serangan udara berkumpulan terhadap sasaran Daish di wilayah Deir Ezzor.

Russia sebelum ini hanya melancarkan serangan dari pangkalan tenteranya di Syria dan Russia sendiri.

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov semalam menegaskan tindakan Moscow menggunakan pangkalan tentera Iran tidak melanggar resolusi Majlis Keselamatan yang memerlukan kebenaran awal sebelum bekalan, penjualan atau pemindahan pesawat perang ke Iran.

Dia mengulas kenyataan jurucakap Jabatan Negara AS, Mark Toner semalam yang berkata, tindakan Russia menggunakan pangkalan di Iran sesuatu yang malang dan mungkin melanggar resolusi berkenaan.

Iran dan Russia adalah dua penyokong kuat rejim Presiden Bashar al-Assad yang berdepan pemberontakan dengan Teheran menghulurkan bantuan di darat, termasuk anggota tentera, sementara Moscow memberi bantuan serangan udara. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 10:24 AM