THNG pada sidang media Scoot, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Budget Aviation Holdings Pte Ltd (Budget Aviation), anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh SIA Group (Singapore Airlines) dan menyediakan perkhidmatan penerbangan tambang murah, Scoot menawarkan penerbangan langsung ke Athens, Greece dari Singapura.

Ketua Pegawai Komersial Scoot, Leslie Thng berkata, penerbangan pertama Scoot ke laluan Athens akan bermula 20 Jun 2017 menerusi pesawat Boeing 787-8 Dreamliner.

Katanya, bagi penumpang dari Malaysia, penerbangan ke Greece boleh melalui empat bandar utama iaitu di Kuala Lumpur, Ipoh, Langkawi dan Pulau Pinang menerusi TigerAir.

“Pesawat kendalian Scoot ini akan dilengkapi dengan lapan ruang rehat untuk anak kapal dan sejumlah 329 tempat duduk termasuk 18 di ScootBiz.

“Sehingga 31 Ogos ini, kami menawarkan harga tambang promosi sebanyak RM1,998 (termasuk cukai) pergi dan balik ke Athens dan ia sah bagi penerbangan pada 20 Jun 2017,” katanya pada sidang media Scoot, semalam.

Menurutnya, bagi penerbangan sehala pula, pihaknya menawarkan pada harga RM999 saja bagi penerbangan 20 Jun hingga 31 Oktober 2017.

Thng berkata, harga tambang yang ditawarkan adalah ‘mesra saku’ dan pihaknya akan mempertimbangkan harga terbabit mengikut maklum balas daripada orang ramai.

Beliau berkata, Scoot menawarkan empat penerbangan dari Singapura ke Athens setiap minggu, yang akan berlepas pada jam 2 pagi waktu Singapura dan tiba di Athens sekitar jam 8.30 pagi waktu Athens.

“Penumpang sudah meminta kami menawarkan penerbangan ke Eropah dan Scoot akhirnya memenuhi permintaan itu dengan memperkenalkan laluan ke Athens dan kami akan memperkenalkan lagi beberapa laluan baharu tidak lama lagi.

“Setakat ini, kami mempunyai 16 pesawat yang mana 12 daripadanya akan diterima pada September ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 7:06 AM