LAKUKAN senaman sesuai ketika hamil.
Susunan Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Normal bagi wanita berasa letih saat mengandung terutama dalam trimester ketiga dan tempoh ini lebih dirasai ibu yang baru kali pertama hamil.

Mula timbul persoalan, adakah saya sudah bosan mengandung? Atau ada sesuatu yang tidak kena pada diri ini? Setiap ibu perlu tahu, ada perkara yang mengujakan ketika berada dalam tempoh minggu pertama kehamilan.

Perubahan itu mungkin menyebabkan ibu menganggap ia begitu meletihkan dan menyukarkan apabila tiba ke bulan keenam atau ketujuh. Tidak ada yang menyeronokkan apabila kita terpaksa perlu bergolek ke sisi untuk bangun dari tidur atau bergegas ke tandas 20 kali sehari.

Ditambah pula dengan kesan sampingan lain seperti buasir dan pedih ulu hati, tidak hairanlah jika ramai ibu mengandung yang mudah bosan.

Selain ketidakselesaan pada tubuh badan, ada juga yang mungkin terpaksa berhadapan dengan pelbagai macam soalan dan komen daripada orang lain mengenai kehamilan anda.

Jangan ambil peduli

Apakah yang boleh dilakukan jika anda rasa bosan dengan kehamilan ini? Jika perbualan mengenai kehamilan menjengkelkan anda, cubalah ubah topik kepada perkara yang tidak berkaitan dengan kehamilan, walaupun isu kecil seperti keadaan cuaca dan apa yang menarik di televisyen.

Jika keluarga dan rakan tidak memahaminya, beritahu mereka secara terus terang anda perlu ‘berehat’ daripada bercakap mengenai kehamilan.

Mengeluh apabila anda rasa perlu dan jangan malu mengenainya. Ibu juga boleh mengadu dan meminta nasihat daripada bakal ibu yang lain dalam forum komuniti.

Walaupun anda mungkin tidak ada ‘mood’, inilah masanya untuk menikmati minggu atau bulan terakhir yang bebas daripada bayi. Selepas bayi lahir, ibu mungkin tidak mempunyai masa untuk diri sendiri. Ibu mungkin mendapati lebih mudah untuk menghilangkan kebosanan jika mempunyai projek untuk dilakukan.

Sibukkan diri dengan membuat persiapan untuk bilik bayi, membeli barang atau membuat perancangan mengenai cuti bersalin dan penjagaan bayi selepas bersalin.

Ibu juga boleh membuat buku skrap mengenai kehamilan atau belajar beberapa lagu mendodoi anak. Namun, ada kalanya ibu perlu melupakan apa saja yang berkaitan dengan bayi. Rancanglah aktiviti yang sukar bagi seorang ibu lakukan selepas bersalin.

Berikut beberapa idea menarik yang boleh dilakukan:

• Temu janji dengan rakan pada waktu makan tengah hari, keluar minum kopi, berbual di telefon atau di alam maya.

• Kemas rumah. Kosongkan laci dapur, masukkan gambar ke dalam album atau susun semula almari pakaian.

Ada banyak kerja penyusunan yang boleh dilakukan di rumah yang tidak meletihkan. Selepas menjadi ibu nanti, anda akan rasa bersyukur mempunyai ruang yang lebih lapang.

• Manjakan diri. Jika mampu, pergilah berurut atau ke spa untuk ibu hamil. Jika kos perbelanjaan kecil, pergilah merias kuku, rawatan muka atau reka spa mini di rumah sendiri.

• Siapkan ‘penyelamat masa’. Minta pendandan rambut supaya mengesyorkan potongan rambut yang mudah diurus.

• Masak beberapa jenis hidangan pada kuantiti yang banyak dan sejuk bekukan sebagai bekalan ketika minggu pertama selepas bersalin.

• Daftar untuk perbankan mudah alih atau melalui Internet jika masih belum ada supaya boleh menguruskan kewangan dengan mudah.

• Eratkan hubungan dengan suami. Nikmati makan malam yang romantik dan tenang bersama. Tidak kira sama ada makan di restoran atau rumah, penting bagi anda berdua memberi tumpuan kepada pasangan sementara masih mempunyai masa.

• Senaman ringan membuatkan diri lebih bertenaga dan membantu mendapatkan tidur lebih lena.

Antaranya berenang, berjalan-jalan sambil menghirup udara segar atau yoga mahupun pilates untuk ibu hamil.

• Masuk ke dunia lain. Baca novel atau tonton filem yang dapat membawa anda ke tempat yang asing atau masa berlainan.

Perlu diingat, kebosanan dan ketidakstabilan ‘mood’ satu perkara biasa semasa hamil. Manakala perasaan murung berpanjangan mungkin boleh menjadi gejala awal kepada masalah kemurungan.

Bincanglah dengan doktor jika anda mengalami salah satu daripada perkara berikut:

• Rasa sedih yang teruk dan berpanjangan.

• Mengalami perasaan yang tidak ada lagi perkara menyeronokkan.

• Keinginan untuk mengasingkan diri.

• Tidak berupaya untuk berfungsi.

Dikatakan kira-kira 10 peratus bakal ibu mengalami kemurungan. Masalah kemurungan yang tidak dirawat memberi kesan kepada kesihatan ibu dan bayi.

Justeru, penting untuk mendapatkan bantuan jika anda mengalaminya. Syukurlah, kebanyakan kes kemurungan berkaitan kehamilan boleh dirawat.

Kadangkala sekadar bercakap dengan seseorang sudah cukup untuk anda rasa lebih baik. Jika bercakap tidak meredakan perasaan, anda mungkin perlukan kaunseling atau rawatan dari sudut perubatan.

Sumber: www.babycenter.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 12:20 PM