Rodly Fadly
wanita@hmetro.com


Isu keganasan rumah tangga satu topik yang tiada noktah. Walaupun kempen ‘memerangi’ keganasan suami terhadap isteri dijalankan oleh pelbagai pertubuhan wanita, statistik menunjukkan kes seumpama ini terus meningkat.

Kes penderaan fizikal seperti diterajang, ditumbuk, dipukul, ditikam, dikelar, disimbah asid dan pelbagai perbuatan kekerasan suami ke atas isteri sering menjadi paparan media massa, juga banyak kes dibicarakan di mahkamah apabila isteri membuat laporan.

Lazimnya, dalam kempen menentang keganasan yang dijalankan, penderaan fizikal sering ditonjolkan sehinggakan ada yang terlepas pandang satu lagi bentuk keganasan rumah tangga iaitu penderaan emosi.

Penderaan kategori ini memang sukar dikesan dengan mata kasar kerana tidak berlaku kecederaan fizikal. Oleh itu ramai tidak sedar penderaan emosi meninggalkan kesan lebih mendalam, berpanjangan dan membahayakan mangsa.

Ini diakui oleh Pakar Perunding Keluarga Islam Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain, yang mengendalikan pelbagai kes keganasan terhadap wanita termasuk penderaan emosi.

“Jika kes penderaan fizikal, kesannya dapat dilihat seperti luka, lebam dan bengkak. Kes sebegini mudah menarik perhatian masyarakat, jadi jika si mangsa tidak mengambil sebarang tindakan melindungi dirinya daripada terus didera, orang sekeliling yang melihat tidak akan mendiamkan diri dan melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Malah apabila menjadi kes mahkamah, ia lebih mudah dibuktikan melalui kesan yang ditinggalkan hasil penderaan serta disokong oleh laporan perubatan doktor.

“Tapi ia sangat berbeza dengan penderaan emosi yang kecederaannya tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Daripada pengalaman saya mengendalikan kes rumah tangga, penderaan emosi meninggalkan kesan lebih mendalam dan berpanjangan. Ada antaranya meninggalkan trauma sepanjang hayat sehingga membawa kepada sakit mental,” katanya.

Menurutnya, lebih berbahaya jika mangsa suka memendam perasaan dan tidak mendedahkan penderitaan yang ditanggung kepada orang lain termasuk saudara dan sahabat handai. Mereka yang memendam rasa, apabila ‘meletup’ akibatnya sangat buruk bukan saja kepada dirinya malah orang di sekelilingnya termasuk pendera.

“Ada kes wanita dihadapkan di mahkamah atas tuduhan memotong zakar suaminya akibat tidak tahan melayan nafsu serakah suami. Semua orang tahu hubungan suami isteri adalah nikmat berumah tangga tapi apabila dilakukan tanpa kerelaan, ia bertukar menjadi penderaan.

“Dalam isu ini, memotong zakar itu kes jenayah tapi inilah contoh tindakan di luar jangkaan yang berlaku akibat penderaan emosi,” ujar Zaidi.

Malah Zaidi mendedahkan, dalam beberapa kes yang dikendalikan, terdapat mangsa mengalami kemurungan melampau akibat didera secara emosi sehingga mendorong untuk melakukan sesuatu di luar pemikiran kita seperti mencederakan diri sendiri, mencederakan anak malah ada yang terfikir untuk membunuh diri.

“Ada seorang wanita memberitahu saya dia pernah berniat untuk membunuh anak dan diri sendiri dengan meminum racun akibat tidak tahan menanggung kesengsaraan hidup selepas ditinggalkan suami tanpa sebab,” katanya.

Mengenai bentuk penderaan emosi, Zaidi berkata antara kes yang ditanganinya ialah suami tidak bekerja, berfoya-foya, kaki judi, suka memaki-hamun, melayan isteri bagai abdi dan menjadikan mereka hamba seks.

“Ada suami langsung tidak bekerja sejak berkahwin sehinggalah beranak-pinak. Semua perbelanjaan rumah tangga termasuk ansuran kereta, sewa rumah, belanja dapur dan upah pengasuh anak ditanggung 100 peratus oleh isteri.

“Suami menjadi ‘raja’ di rumah malah duit rokoknya pun terpaksa ditanggung isteri. Lebih memburukkan keadaan, sudahlah tidak bekerja, suami pula kaki judi atau mat gian (dadah).

“Ada juga suami yang baran tidak tentu fasal, asal silap sikit, isteri dihambur dengan maki-hamun. Walaupun tidak pernah didera secara fizikal, kata-kata kesat ini juga boleh mendatangkan kecederaan emosi kepada mangsa.

“Kelakarnya, siang isteri dimaki hamun tapi bila malam si suami lunak ‘mengajak’. Dalam keadaan emosi yang tertekan tidak mungkin isteri boleh memberikan layanan kelas pertama. Ini juga boleh menimbulkan kemarahan suami,” katanya.

Menurutnya, kes yang kerap memberi tekanan perasaan kepada isteri apabila mengetahui suami bermain kayu tiga atau berpoligami.

“Dalam kes sebegini, saya dapati wanita lebih rela suami ‘makan luar’ daripada berpoligami sedangkan dalam Islam, poligami itu halal berbanding melakukan maksiat.

“Bagi mereka, hidup berpoligami itu menyebabkan mereka perlu berkongsi segala-galanya dalam kehidupan. Dalam kes sebegini, wanita bertambah tertekan jika suami mampu bersikap adil kerana mereka tidak mempunyai asas untuk mengadu kepada jabatan agama,” katanya.

Zaidi berkata, dalam menangani kes penderaan emosi, beliau sebagai pakar perunding keluarga akan memberi khidmat kaunseling dengan mengambil pendekatan agama untuk memulihkan emosi mereka. Di samping itu beliau juga memberi beberapa formula penyelesaian untuk mengatasi masalah yang mereka hadapi.

Mengakui lebih sukar mengendalikan kes penderaan emosi berbanding fizikal, beliau berkata persediaan rapi perlu dibuat sebelum dibawa ke muka pengadilan.

“Si pengadu perlu mendapatkan rawatan dan laporan daripada pakar psikiatri bagi mengesahkan dia mengalami tekanan emosi. Laporan pakar ini boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, Zaidi menegaskan, orang sekeliling terutama ahli keluarga, jangan mengambil mudah apabila melihat seseorang mula menunjukkan tanda menghadapi masalah atau tekanan.

“Mereka perlu cepat dibantu kerana jika dibiarkan, ia akan menjadi bertambah parah sehingga boleh membahayakan mangsa dan orang di sekelilingnya. Bagi saya penderaan emosi ini lebih bahaya daripada penderaan fizikal jika tidak ditangani lebih awal,” kata Zaidi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 12:13 PM