PETUGAS mengumpulkan sisa mayat di sebuah hospital yang dikendalikan MSF selepas ia didakwa dibom oleh pesawat tentera pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi. - Reuters

Riyadh: Pakatan tentera yang diketuai Arab Saudi semalam melancarkan siasatan selepas dikecam masyarakat antarabangsa berhubung serangan udaranya yang didakwa kumpulan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) menyebabkan 11 orang terbunuh di sebuah hospital yang dikendalikannya.

Lebih 19 orang turut cedera dalam serangan ke atas hospital di Abs di Hajja, wilayah yang dikuasai pemberontak Houthi, kata agensi bantuan yang berpejabat di Paris itu.

Menurut MSF, seorang kakitangannya antara yang terbunuh.

Serangan di hospital itu adalah yang terbaru dalam beberapa kejadian membabitkan kemudahan awam, termasuk sebuah sekolah Sabtu lalu yang membunuh 10 kanak-kanak.

MSF berkata, serangan itu adalah yang keempat di hospital yang dikendalikannya dalam tempoh kurang setahun.

Pasukan Penilaian Kejadian Bersama (JIAT) yang dibentuk oleh pakatan tentera negara Teluk berkata, ia maklum mengenai laporan berkenaan dan kini melancarkan siasatan bebas.

Menurutnya, ia akan mendapatkan lebih banyak maklumat daripada MSF dan akan mengumumkan hasil siasatannya.

JIAT juga akan menyiasat serangan udara di sebuah sekolah di Saada, juga kawasan pemberontak di utara negara itu.

Pakatan berkenaan sebelum ini menafikan menjadikan sekolah itu sasaran serangan, sebaliknya mendakwa lokasi itu adalah kem untuk melatih pejuang kanak-kanak. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 9:41 AM