FILEM The Journey memenangi kategori Filem Bukan Di Dalam Bahasa Melayu Terbaik FFM27.
Adam Salleh

Nak bawa filem tempatan ke antarabangsa? Bukannya payah sangat. Terbit saja sebuah filem purbawara kemudian tawarkan watak Hang Tuah pada Datuk Jacky Chan, watak Hang Jebat pada Datuk Shah Rukh Khan dan watak Tun Teja pada Tan Sri Michelle Yeoh.

Sekiranya ada bajet lebih boleh juga tawarkan Amitabh Bachchan watak Sultan Melaka dan Rajinikanth menjadi Sang Rajuna Tapa. Kalaupun bukan filem purbawara, filem drama berat atau aksi pun boleh kerana yang penting dalam filem itu ada kelibat artis terkenal di dunia.

Dialog usah risau boleh menjalani proses pengalihan suara (dubbing) mengikut bahasa Melayu, Cina, India atau Inggeris. Katakan terlaksana projek itu (melalui dana khas), sebaik filem ditayangkan, fokus peminat daripada seluruh dunia pastinya terarah ke filem tempatan kerana ada kelibat ramai superstar dunia dan filem kita sudah dikira menembusi pasaran global, asalkan yang mengarah itu adalah anak tempatan.

Bahasa dalam filem sebenarnya bukanlah isu besar. Tidak adil dikata bahasa Melayu sukar membawa filem menembusi pasaran dunia. Bagaimana pula filem The Gods Must Be Crazy pada 1984 dengan watak XI (N!xau # Toma) yang bahasanya ‘sepatah haram’ kita tidak faham.

Yang bercerita dalam filem adalah bahasa gambar. Bahasa filem sifatnya universal. Justeru apabila isu bahasa menjadi kontroversi di FFM28 (Festival Filem Malaysia Ke-28) apabila filem Ola Bola dicalonkan bagi kategori Filem Terbaik Bukan Di Dalam Bahasa Melayu Terbaik, ia bukanlah sesuatu yang murni dalam usaha kita mendaulatkan bahasa kebangsaan ke arah membina bangsa Malaysia yang merdeka.

Filem terbitan Astro Shaw diarahkan Chiu Keng Guan itu tidak menepati 70 peratus bahasa kebangsaan untuk dipertandingkan bagi kategori Filem Terbaik FFM28. Lalu FFM28 dilabel rasis dan yang lucunya karyawan yang melalak dan banyak ‘bunyi’ tidak mahu filem yang bertanding diasing kategorinya hingga ke tahap memulangkan kembali trofi dalam plastik sampah adalah Melayu tidak pengarah Cina itu.

Pengasingan filem hakikatnya bukanlah baru jika menyorot FFM27 apabila filem Take Me To Dinner, The Cage, The Great Lion, The Journey dan Cuak dipertandingkan bagi kategori Filem Bukan Di Dalam Bahasa Melayu Terbaik dan kemenangannya berpihak pada The Journey.

Cubalah direnungi hero Tamil dengan Rajinikanth, hero Hindustan pula Amitabh Bachchan, tapi payah untuk kita melihat kedua-duanya bertembung dalam festival anjuran di negara sendiri, walhal kedua-dua aktor legenda ini dari India.

Kebetulan Jun tahun lalu, penulis diundang ke Anugerah Akademi Filem Antarabangsa India (IFFA 2015) jelas sekali yang bertanding Hrithik Roshan, Anushka Sharma dan majoriti artis Bollywood, tidak nampak pun kelibat artis Kollywood, apakah Kollywood itu bukan India?

Isu bahasa dalam filem tempatan mulai menjadi perdebatan sejak era kegemilngan filem Melayu di Singapura. Asal filem Melayu itu diarahkan oleh pengarah India, yang majoritinya didatangkan dari India dan mereka tidak semua boleh berbahasa Melayu dengan baik.

Bagaimanapun pengarah ini beruntung mempunyai penolong pengarah Melayu yang menjadi penterjemah antara pengarah dan pelakon. Tidak semua pelakon dulu bersekolah, tetapi atas kebijaksanaan pengarah dapat ‘menyekolahkan’ pelakon yang buta huruf itu.

Istimewanya kalangan pengarah India ini, sebolehnya semua dialog mestilah dalam bahasa Melayu. Tidak seperti sekarang filem tempatan tetapi bahasa caca marba. Terdapat juga pelakon silam itu dikritik hebat kerana tidak dapat menuturkan bahasa Melayu aras tinggi.

Memetik kenyataan pengarah Salleh Ghani (Allahyarham) di akhbar Merdeka pada 1984 (kemudian dibukukan pada 1989 tajuk Filem Melayu Dari Jalan Ampas Ke Ulu Klang) satu kertas kerja dibentangkan mengenai Bahasa Melayu dan Perfileman di Kongres Bahasa Dan Pesuratan Melayu Malaya Ketiga di Universiti Singapura pada 1956, yang jelas mengkritik pelakon tidak berbahasa Melayu ‘standard’.

Salleh mewakili PERSAMA (Persatuan Artiste Malaya) bangun menentang kertas kerja itu dan mohon tidak diperbincangkan kerana cuba merendahkan pelakon yang kurang pengetahuan dalam berbahasa Melayu. Usul Salleh disokong Cikgu Mohd Nor dari Pulau Pinang dan majlis yang dipengerusikan Harun Aminurashid dan timbalannya Kamaludin Muhamad (Keris Mas) menerima usul berkenaan.

Bolehlah kita rumuskan di sini pakar bahasa ketika itu mahukan pelakon menggunakan bahasa Melayu ‘standard’ tetapi karyawan filem cenderung mengekalkan bahasa Melayu Riau/Johor di dalam filem. Indahnya apa yang mereka debatkan ialah bahasa Melayu.

Isu bahasa kebangsaan dalam FFM28 selesai selepas pertemuan Ketua Pengarah Perbadanan Filem Nasional (Finas), Datuk Kamil Othman serta wakil persatuan berkaitan industri perfileman dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Di media arus perdana, isu ini nampak beres tetapi hakikat terjadi di media sosial penggiat industri mula serang menyerang, viral memviral sesama sendiri. Bagi yang tidak puas hati dengan kenyataan menteri, group WhatsApp dengan hashtag Keranda 152 dan #152 Talqin Buat Melayu diwujudkan. Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) pula bertindak tidak mahu terbabit langsung dalam FFM28 pada 3 September ini.

Amat malang isu bahasa kebangsaan dalam FFM28 ini tercetus di kala kita bakal meraikan Hari Kebangsaan Ke-59 pada 31 Ogos nanti serba sedikit mencalarkan slogan Sehati Sejiwa yang dilaungkan kerajaan selama ini kerana filem itu adalah cerminan masyarakat kita.

Penulis ialah Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 9:39 AM