Bangunan Ampang Park di Jalan Ampang. - Foto Fail
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, membenarkan permohonan 39 pemilik strata pusat beli-belah Ampang Park menangguhkan sementara kerja meroboh pusat beli-belah itu bagi projek pembinaan MRT Stesen Ampang Park.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu dalam kamarnya dan memerintahkan pentadbir tanah tidak boleh mengeluarkan Borang K iaitu borang pengambilan tanah sehingga 28 September 2016.

Peguam Jason Ng Kau yang mewakili 39 pemilik strata pusat beli-belah itu berkata, keputusan itu bermakna Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan pentadbir tanah tidak boleh mengambil milikan pusat beli-belah itu serta merobohkannya sehingga pendengaran kedua-dua pihak bagi penangguhan pelaksanaan pengambilan tanah pada 28 September.

Seramai 39 pemilik strata memohon penangguhan itu sementara menunggu rayuan mereka di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 30 Jun lalu, yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka bagi mencabar pengambilan tanah untuk projek pembinaan MRT Stesen Ampang Park. Mahkamah Tinggi memutuskan pengambilan tanah itu dibuat mengikut peruntukan undang-undang.

Pada 8 Januari lalu, 39 peniaga berkenaan memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan Kementerian Wilayah Persekutuan, Kerajaan Malaysia, Pengarah Tanah dan Galian dan Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden sebelum menggugurkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Mereka memohon deklarasi Borang D bertarikh 17 Ogos 2015 dan Borang E bertarikh 22 Oktober 2015 Akta Pengambilan Tanah 1960 yang dikeluarkan responden adalah tidak berperlembagaan, menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 8:16 PM