FOTO hiasan
Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my


Ipoh: Lapan wanita warga asing iaitu lima warga Thailand, dua warga China dan seorang warga Laos berusia antara 28 hingga 43 tahun ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pelacuran di sebuah premis rumah kedai di Kampung Rapat, di sini, malam tadi.

Premis yang menjalankan rawatan khidmat urutan dan pusat bekam berkenaan dikatakan baru beroperasi tidak sampai 24 jam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 11 malam itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun dipercayai terbabit dalam kegiatan pelacuran dan pemerdagangan manusia.

Katanya, hasil pemeriksaan dalam premis berkenaan, menemui minyak pelincir yang dipercayai digunakan untuk kegiatan seks, tisu, tuala, komputer riba, dua walkie-talkie dan telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM387.

“Ketika serbuan dilakukan, tiada pelanggan membuat rawatan di premis berkenaan,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Balai Polis Pasir Puteh, di sini hari ini.

Chang Keong berkata, polis masih meneruskan siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 3:21 PM