Sanjeevan (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret KL hari ini atas pertuduhan memeras ugut seorang lelaki di sebuah restoran di Kampung Baru, dua tahun lalu. FOTO Saddam Yusof
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur : Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) Datuk Sri R Sanjeevan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memeras ugut seorang lelaki di sebuah restoran di Kampung Baru, di sini, dua tahun lalu.

Sanjeevan, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan pemerasan untuk mendatangkan ketakutan terhadap Mohd Azhan Hamza, 32,jam 9 malam pada 22 Mei 2014.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 September ini sebagai sebutan semula kes.

Ini adalah kali ke keempat dia dihadapkan ke mahkamah atas beberapa pertuduhan, termasuk pada dua hari lalu di Mahkamah Majistret Temerloh, Pahang, atas pertuduhan memeras ugut seorang ahli perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 1:31 PM